KPT Serah Projek Kampung Angkat MADANI: Sinergi Infrastruktur Moden Dan Pemindahan Ilmu Di Kampung Pulau
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus mempergiat usaha mengangkat taraf hidup masyarakat luar bandar menerusi pelaksanaan projek Kampung Angkat MADANI di Kampung Pulau yang menggabungkan pembangunan infrastruktur fizikal dan pemindahan kepakaran teknikal.
Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim berkata, projek tersebut membuktikan komitmen kerajaan dalam menyediakan fasiliti komuniti yang kondusif, sambil memastikan pembangunan fizikal seiring dengan pembangunan modal insan melalui pembudayaan ilmu.
Beliau pada pagi tadi hadir bagi menyerahkan secara rasminya projek Dewan Terbuka Kampung Pulau kepada Ketua Menteri Melaka yang juga ADUN Tanjung Bidara, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Dewan yang telah siap dibina sepenuhnya pada 30 September tahun lalu itu merupakan sebuah projek pembangunan di bawah Program Kampung Angkat MADANI yang dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) menggunakan peruntukan khas Kementerian Kewangan.
Menurut beliau, dewan terbuka bernilai RM1 juta itu bakal menjadi hab aktiviti kemasyarakatan yang selesa, manakala dana tambahan RM200,000 turut diperuntukkan bagi menaik taraf gelanggang futsal yang diselia oleh Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) selaku agensi pelaksana.
YBhg. Datuk Dr. Anesee menjelaskan bahawa pemilihan Kampung Pulau sebagai kampung angkat sejak pertengahan 2024 bertujuan menjalin hubungan strategik antara agensi kerajaan dan masyarakat setempat, sekali gus menterjemahkan aspirasi Belanjawan 2024 dan 2025 yang menekankan projek berimpak sosial tinggi.
Dalam pada itu, UTeM memainkan peranan signifikan melangkaui fungsi tradisional pengajaran dengan membawa masuk kepakaran pensyarah dan pelajar ke dalam komuniti bagi menjayakan lima (5) program bimbingan yang direka khusus untuk penduduk.
Antara inisiatif berimpak tinggi yang dilaksanakan adalah Projek Rintis Akuaponik Berasaskan Internet of Things (IoT), yang bertujuan mendedahkan penduduk kepada teknologi pertanian pintar bagi meningkatkan hasil dan kecekapan.
Bagi memupuk minat generasi muda, program kesedaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) turut diadakan melalui pemindahan kepakaran kejuruteraan secara langsung daripada mahasiswa kepada anak-anak kampung.
Golongan wanita di Kampung Pulau juga tidak dipinggirkan apabila mereka diperkasa menerusi Kursus Keusahawanan Makanan dan Minuman (F&B), satu usaha praktikal bagi membantu menjana pendapatan tambahan keluarga agar lebih mandiri.
Kejayaan pendekatan holistik ini diharap dapat meningkatkan literasi digital dan kemahiran insaniah penduduk selaras dengan hasrat melahirkan masyarakat madani yang progresif, serta membuktikan institusi pendidikan tinggi mampu menjadi pemangkin perubahan sosial di peringkat akar umbi.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Prof. Dr. Mohd Rizal Salleh; Yang DiPertua Majlis Daerah Alor Gajah, Datuk TPr. Saifudin Abdul Karim; serta mantan Ketua Setiausaha KPT, Prof. Emeritus. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.
- Last updated on .
- Hits: 916