KPT Rai Warga: Dari Sukan Rakyat, Sukaneka Hingga Pesta Durian Di Bukit Ekspo UPM
Segala penat lelah warga kerja sepanjang tahun dibalas dengan keraian penuh bermakna menerusi penganjuran Hari Keluarga yang menggabungkan elemen tradisi, hiburan, dan keunikan makanan.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, inisiatif santai tersebut adalah tanda terima kasih yang tidak terhingga beliau dan Kementerian kepada seluruh kakitangan yang sentiasa komited memacu kecemerlangan pendidikan tinggi.
Suasana muhibah jelas terpancar apabila barisan kepimpinan tertinggi Kementerian turun padang menyertai pelbagai acara Sukan Rakyat seperti bowling kelapa dan tarik upih, mencipta momen yang tidak bisa dilupakan bersama warga.
Dianggarkan seramai 5,000 warga KPT bersama ahli keluarga masing-masing telah membanjiri tapak program di Bukit Ekspo, Universiti Putra Malaysia (UPM) seawal pagi, menghidupkan suasana pagi Sabtu dengan gelak tawa.
Fokus turut diberikan kepada keceriaan anak-anak warga menerusi penyediaan zon permainan arked dan sukaneka yang dikendalikan oleh penganjur bersama, UPM Holdings Sdn Bhd.
Hadirin turut dihiburkan dengan persembahan kumpulan muzik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebelum penyanyi terkenal tanah air, Amir Masdi, mendendangkan lagu-lagu popularnya.
Bagi melengkapkan hari keluarga siang tadi, deretan gerai makanan dengan pelbagai jenis juadah telah disediakan, membolehkan para peserta menikmati selera dalam suasana santai.
Warga kerja turut diraikan dengan pesta buah-buahan istimewa, antaranya durian, rambutan, manggis dan nanas, segar dari dusun UPM.
Acara kemuncak cabutan bertuah menjadi detik paling dinantikan, menyaksikan keterujaan hadirin menunggu nombor bertuah masing-masing dipanggil sebelum majlis bersurai.
Turut hadir Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; para pegawai kanan Kementerian; serta barisan Naib Canselor Universiti Awam.
- Last updated on .
- Hits: 26