KPT Semarakkan Ukhuwah Awal Muharam Menerusi Edaran 1,000 Pek Bubur Asyura

26 Jun 2026 | Putrajaya
Semangat kebersamaan dan budaya gotong-royong terus subur dalam kalangan warga Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi penganjuran Program Bubur Asyura KPT 1448H/2026M yang berlangsung dengan jayanya, hari ini.
Program tahunan tersebut merupakan inisiatif anjuran PUSPANITA Cawangan KPT yang mendapat kerjasama padu daripada pelbagai pihak, termasuk Surau Ibadurrahman KPT, Kelab Sukan & Kebajikan KPT, EduCafé KPT, serta Universiti Putra Malaysia (UPM).
Aktiviti secara ‘rewang’ ini turut diserikan dengan kehadiran Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim, yang meluangkan masa turun padang menyertai para petugas menyediakan hidangan tradisional tersebut.
Acara tersebut bertambah meriah apabila Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, turut hadir menyantuni jawatankuasa pelaksana dan warga KPT yang bergotong-royong sejak awal pagi.
Kemuncak program menyaksikan sebanyak 1,000 pek Bubur Asyura berjaya disiapkan dan diedarkan kepada warga kementerian. Sesi penyerahan telah disempurnakan oleh Pengerusi PUSPANITA KPT, Datin Hajah Murni binti Muda yang juga isteri kepada Ketua Setiausaha KPT.
Pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua jawatankuasa, petugas, dan rakan strategik yang telah berganding bahu memastikan kelancaran program ini.
Bertepatan dengan slogan "Bersama Merewang, Berkongsi Rezeki, Menyemai Ukhuwah," penganjuran program ini diharap dapat terus menyemai nilai kesukarelawanan serta membawa keberkatan sempena bulan Muharam kepada seluruh warga KPT.
- Last updated on .
- Hits: 31
