Inisiatif Semikonduktor@UiTM Pacu Pembangunan Bakat dan Teknologi Berimpak Tinggi Negara

Inisiatif Semikonduktor@UiTM Pacu Pembangunan Bakat dan Teknologi Berimpak Tinggi Negara
English translation not available for this content.

30 Jun 2026 | Shah Alam, Selangor

Majlis Pelancaran Inisiatif Semikonduktor@UiTM disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam pagi tadi.

Inisiatif tersebut menjadi langkah penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai industri semikonduktor global berasaskan teknologi bernilai tinggi.

Pelaksanaannya selari dengan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) yang memberi penekanan kepada pembangunan ekosistem menyeluruh merangkumi bakat, penyelidikan dan inovasi industri.

Kerajaan MADANI telah memperuntukkan sebanyak RM20 juta menerusi Belanjawan 2025 bagi memperkukuh keupayaan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dalam bidang mikroelektronik dan semikonduktor.

Peruntukan tersebut dimanfaatkan melalui penubuhan Institut Mikroelektronik dan Semikonduktor (IMS), sebagai Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) pertama di bawah UiTM yang menjadi penyelaras utama latihan teknikal, penyelidikan gunaan dan pembangunan inovasi.

IMS turut dilengkapi fasiliti berteknologi tinggi termasuk makmal reka bentuk litar bersepadu, kemudahan fabrikasi semikonduktor, sistem pengujian peranti serta infrastruktur automasi industri.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi penekanan kepada pelaksanaan Pembelajaran Berasaskan Pekerjaan (WBL) bagi memastikan pelajar didedahkan secara langsung kepada persekitaran operasi industri sebenar.

Pendekatan itu turut disokong melalui peluasan program latihan sabatikal pensyarah di syarikat semikonduktor terkemuka bagi meningkatkan kemahiran teknikal dan pendedahan industri.

Sinergi strategik antara UiTM dan rakan industri termasuk Collaborative Research in Engineering, Science and Technology (CREST) serta Advanced Semiconductor & Electronics Malaysia (ASEM) memperlihatkan pembentukan ekosistem kolaboratif yang lebih tersusun.

Antara pencapaian awal inisiatif tersebut ialah penghasilan mikrocip elektronik kuasa tempatan hasil kerjasama industri bersama Weeroc Space di fasiliti X-FAB, sekali gus membuka ruang kepada pengukuhan keupayaan reka bentuk dan fabrikasi negara.

Turut hadir Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Dato' Sri Idris Jusoh; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Dato' Prof. Dr. Azlinda Azman; serta Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin.

  • Last updated on .
  • Hits: 32
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 30 June 2026, 10:47:03.

sirim-logo