KPT Menyambut Baik Hasrat UK Dalam Meneroka Dan Mengukuhkan Bidang Kerjasama Baharu Pendidikan Tinggi Kedua-Dua Negara

KPT Menyambut Baik Hasrat UK Dalam Meneroka Dan Mengukuhkan Bidang Kerjasama Baharu Pendidikan Tinggi Kedua-Dua Negara
English translation not available for this content.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menerima kunjungan hormat daripada Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom ke Malaysia, TYT Ailsa Terry CMG di Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya hari ini.

Pertemuan tersebut bertujuan untuk membincang dan meneroka pelbagai bidang kerjasama terutamanya berkaitan pendidikan tinggi yang berpotensi dalam mengukuhkan hubungan dua hala antara United Kingdom dan Malaysia serta peluang perkembangan pendidikan tinggi antara kedua-dua negara.

Selain itu, pihak UK telah menyatakan hasrat untuk mengadakan kerjasama dengan pihak MQA khususnya berkaitan proses akreditasi antara universiti-universiti di UK dan Malaysia. Pihak UK juga telah mencadangkan untuk kembali melaksanakan program pembelajaran Bahasa Inggeris di Malaysia dan bersedia untuk menyediakan tenaga kepakaran dari UK untuk membantu merealisasikan program ini.

Kedua-dua pihak turut membincangkan program-program yang telah dirancang bagi tahun 2024 seperti Education World Forum (EWF) yang akan diadakan pada Mei 2024 di London serta BETT Asia 2024 yang akan diadakan pada pada Okotber 2024 di Kuala Lumpur. YB Menteri Pendidikan Tinggi telah menyambut baik dan menunjukkan komitmen yang tinggi berhubung perancangan program-program bersama kerajaan UK ini.

Turut hadir dalam sesi ini ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), YBhg. Dato' Dr. Haji Megat Sany bin Megat Ahmad Supian, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBrs. Prof. Dr. Azlinda binti Azman, serta Setiausaha Bahagian, Bahagian Hubungan Antarabangsa, YBhg. Datin Noorazah Omar. 

  • Last updated on .
  • Hits: 1162
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.