KPT–LJM Perluas Kerjasama, Perkasa Bakat Kejuruteraan

KPT–LJM Perluas Kerjasama, Perkasa Bakat Kejuruteraan
English translation not available for this content.

10 Ogos 2026 | Putrajaya

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) hari ini.

Pertemuan ini menjadi wadah untuk memperkenalkan peranan serta fungsi LJM, selain membentangkan Pelan Strategik LJM 2026–2030 yang menggariskan hala tuju organisasi dalam memperkukuh pembangunan profesion kejuruteraan di Malaysia.

Perbincangan turut menyentuh kepentingan memperkasa ekosistem kejuruteraan yang responsif terhadap perkembangan teknologi, perubahan industri dan keperluan pembangunan negara, termasuk memastikan bakat kejuruteraan yang dilahirkan melalui Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) sentiasa bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Dalam pertemuan tersebut, KSU turut meminta LJM untuk menyediakan pelan tindakan yang komprehensif bagi melahirkan bakat kejuruteraan berkemahiran tinggi, berdaya saing dan memenuhi keperluan industri, di samping merangka pendekatan yang berkesan untuk mengekalkan bakat-bakat tersebut agar terus menyumbang kepada pembangunan sektor kejuruteraan dan ekonomi negara.

KPT berharap agar kunjungan ini dapat menjadi landasan kepada hubungan yang lebih erat dan kerjasama yang lebih strategik bersama LJM, khususnya dalam memperkasa pendidikan serta pembangunan bakat kejuruteraan di IPT. Kerjasama berterusan ini juga diharap dapat membuka lebih banyak ruang untuk perkongsian kepakaran, pengetahuan dan pengalaman industri demi memastikan bidang kejuruteraan terus berkembang seiring keperluan negara.

  • Last updated on .
  • Hits: 111
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 12 August 2026, 02:43:53.

sirim-logo