KPT Mahu Mahasiswa Jadi Pencipta Pekerjaan, Bukan Sekadar Pencari Kerja

9 Ogos 2026 | Kuala Lumpur
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mahu mahasiswa dibentuk bukan sekadar sebagai pencari pekerjaan, sebaliknya pencipta peluang pekerjaan melalui pembangunan produk, perkhidmatan inovatif dan syarikat pemula berasaskan teknologi.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBrs. Encik Ahmad Rizal Adnan berkata pendekatan itu selari dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang menggariskan pembangunan pembelajar berciri keusahawanan, inovatif dan adaptif terhadap perubahan teknologi serta keperluan industri.
Beliau berkata Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) perlu menyediakan ruang kepada mahasiswa untuk meneroka idea, membina prototaip, menguji penyelesaian dan belajar daripada pengalaman sebenar supaya mereka mampu mencipta nilai kepada masyarakat serta industri.
Menurutnya, hala tuju itu turut diterjemahkan menerusi Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (PTK-IPT) 2026–2030 yang memberi tumpuan kepada ekosistem keusahawanan pelajar, penggunaan inovasi dan teknologi serta kerjasama berimpak tinggi.
Sehubungan itu, Program National Maker-Preneur 2025/2026 yang diselaraskan Universiti Malaya (UM) menghimpunkan 180 orang pelajar daripada 20 buah IPT termasuk 17 universiti awam, Politeknik Merlimau serta Kolej Komuniti Segamat dan Kolej Komuniti Kuala Langat.
Lebih membanggakan, sebanyak 36 buah produk dan prototaip berjaya dibangunkan menerusi program itu dengan sokongan dana permulaan berjumlah RM72,000 atau RM2,000 bagi setiap kumpulan.
YBrs. Encik Ahmad Rizal berkata kepelbagaian peserta daripada lebih 30 bidang pengajian membuktikan inovasi tidak terhad kepada disiplin tertentu, sebaliknya berkembang apabila kepakaran teknikal, pemahaman terhadap masyarakat dan pemikiran kreatif digabungkan.
Beliau berkata penyertaan pelajar universiti bersama pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti turut membuka ruang untuk menggabungkan kemahiran teknikal bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan kepakaran akademik bagi menghasilkan penyelesaian yang lebih praktikal.
Dalam pada itu, beliau mahu idea dan prototaip yang dihasilkan tidak terhenti selepas program berakhir, sebaliknya terus dibimbing, diuji dan ditambah baik dengan sokongan industri supaya berpotensi berkembang menjadi produk, perkhidmatan atau syarikat pemula yang berdaya maju.
"Jangan takut untuk terus mencuba, memperbaiki kelemahan serta mencari penyelesaian yang dapat menambah nilai kepada kehidupan masyarakat," katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Program National Maker-Preneur 2025/2026 di sini siang tadi.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UM, Profesor Dr. Zamri Radzi; Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Fazidah Mustafa; Ketua Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof. Dr. Muhammad Lutfi Abu Bakar; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UM, Prof. Dr. Yvonne Lim Ai Lian; Pengarah Eksekutif Jabatan Hal Ehwal Pelajar UM, Nur Hafizah Abdullah; serta Pengarah Pusat Keusahawanan Pelajar UM, Ahmad Hilmi Mohammad Noh.
- Last updated on .
- Hits: 130
