KPT Komited Perkukuh Ekosistem Pendidikan Tinggi Sabah Melalui Peruntukan RM1.014 Bilion
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggariskan komitmen kukuh untuk memperkasa pembangunan ekosistem pendidikan tinggi di Sabah dengan peruntukan melebihi RM1 bilion.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, mengesahkan kelulusan 21 projek strategik di Sabah di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Peruntukan keseluruhan bagi projek-projek ini mencapai RM1.014 bilion, bertujuan meningkatkan kualiti fasiliti dan program di institusi pendidikan tinggi (IPT) negeri.
Pengumuman tersebut dibuat susulan lawatan kerja dan sesi libat urus beliau bersama rakan-rakan media Sabah di Kota Kinabalu semalam.
Tadbir urus yang telus dan komited menjadi tunjang kepada segala inisiatif KPT dalam memastikan pembangunan institusi berjalan lancar di Sabah.
Beliau turut menegaskan peranan kritikal TVET dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang menjadi teras pembangunan wilayah.
KPT memberi tumpuan kepada peningkatan aspek 'High TVET' sama ada di peringkat Diploma mahupun Ijazah bagi memenuhi permintaan industri.
YB Dato' Seri Dr. Zambry turut memberi penekanan kepada penubuhan Fakulti Undang-undang baharu di Universiti Malaysia Sabah (UMS), yang telah mendapat persetujuan Kabinet dan kelulusan Majlis Peguam.
Menurut beliau lagi, KPT juga sedang menyelesaikan isu bekalan air kritikal yang berlarutan di Kampus UMS dan kawasan sekitarnya yang kini sudah mencapai tahap 96 peratus kemajuan.
Sementara di situ pagi semalam, beliau turut meninjau kemajuan pembangunan Hospital Pengajar UMS (HPUMS) yang dijangka akan memulakan operasinya secara berfasa seawal Disember ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Inisiatif pembangunan yang Kerajaan sedang pertimbangkan turut merangkumi perancangan untuk membina asrama bagi Kolej Komuniti di Sabah, mengakui keperluan pelajar di kawasan pedalaman.
Jumlah bajet sektor pendidikan, yang merangkumi KPT dan Kementerian Pendidikan Malaysia, membuktikan keutamaan strategik yang diletakkan oleh Kerajaan kepada aspek kemajuan negara.
Komitmen KPT ini sekali gus mencerminkan keutamaan strategik kerajaan dalam meletakkan sektor pendidikan sebagai peneraju pembangunan negara.
- Last updated on .
- Hits: 573