DYMM Sultan Perak Masyhur Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah, Jadi Pusat Latihan Strategik Maritim Negara

DYMM Sultan Perak Masyhur Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah, Jadi Pusat Latihan Strategik Maritim Negara
English translation not available for this content.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan bercemar duli bagi menyempurnakan Majlis Pemasyhuran Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah (PMSN) pagi tadi.

Turut berangkat DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa, dan DYAM Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.

Pemasyhuran tersebut sekali gus mengangkat agenda Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkukuh pendidikan TVET maritim negara serta memperluas kapasitinya sebagai sektor strategik dalam agenda pembangunan pendidikan tinggi teknikal.

PMSN turut berperanan menyokong agenda TVET Nasional, khususnya dalam mencapai sasaran kerajaan untuk meningkatkan kemahiran teknikal rakyat dan memastikan graduan politeknik relevan dengan keperluan industri.

Selaras dengan Dasar TVET Negara, PMSN menekankan pendekatan latihan yang berorientasikan industri, melibatkan kerjasama rapat dengan pemain sektor maritim tempatan dan antarabangsa.

Ia juga menggerakkan agenda KPT untuk memartabatkan TVET, termasuk memperkasa pensijilan profesional, menggalakkan pembelajaran berasaskan kerja, dan memfokuskan kepada bidang-bidang berkemahiran tinggi (high-skilled areas) seperti Automasi Maritim dan Industri 4.0 dalam sektor perkapalan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan peratusan pekerja berkemahiran tinggi negara.

PMSN merupakan cetusan ilham Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai langkah mewujudkan politeknik khusus bertujahkan sektor maritim di kawasan Bagan Datuk.

Politeknik berkenaan memulakan pengambilan pertamanya pada tahun 2017 menerusi program Diploma Seni Bina Kapal, dan pembangunan kampus siap sepenuhnya pada tahun 2023 dengan keluasan 12.14 hektar bagi memenuhi keperluan latihan teknikal berasaskan industri.

Selain itu, kampus PMSN mampu menampung kira-kira 1,500 orang pelajar sekali gus meningkatkan keupayaan penyediaan bakat maritim di bawah seliaan KPT.

Penjenamaan PMSN dengan nama DYMM Tuanku melambangkan penghargaan terhadap kepimpinan Baginda dalam memartabatkan pendidikan dan ilmu pengetahuan.

Dalam konteks pengajian, PMSN menyokong dasar KPT melahirkan tenaga mahir dalam kejuruteraan marin, reka bentuk kapal, automasi perkapalan, dan teknologi laut.

Susulan itu, PMSN digerakkan sebagai pusat latihan dan penyelidikan maritim yang memperkukuh kerjasama antara KPT, industri perkapalan, dan ekosistem ekonomi biru negara.

Hadir sama YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid Hamidi; YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Datuk Dr. Anesee Ibrahim; dan Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah. 

  • Last updated on .
  • Hits: 837
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Saturday 13 December 2025, 00:02:22.

sirim-logo