Malaysia Perkukuh Kerjasama Strategik Pendidikan Tinggi Bersama Rantau Afrika
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited memperkukuh kerjasama, perkongsian ilmu serta jalinan strategik antara Malaysia dan rantau Afrika melalui penganjuran pameran ‘Study In Malaysia’, yang dianjurkan bersama Education Malaysia Global Services (EMGS), selaras dengan fokus Kementerian iaitu pengantarabangsaan pendidikan tinggi.
Menurut Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim, pameran ‘Study In Malaysia’ yang berlangsung selama dua (2) hari, sehingga 24 November itu menjadi tumpuan utama Kementerian bagi mempromosikan keupayaan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) negara, termasuk kekuatan akademik, bidang penyelidikan serta sokongan kepada pelajar antarabangsa.
Ia turut memberi peluang kepada pengunjung untuk berinteraksi secara langsung dengan wakil IPT Malaysia bagi meneroka potensi kerjasama baharu.
“Hubungan dua hala Malaysia–Afrika yang sekian lama terjalin terus diperkukuh melalui aspirasi bersama dalam meningkatkan kualiti pendidikan, akses pendidikan serta kerjasama rentas sempadan.
Kerjasama yang terjalin ini termasuk mobiliti pelajar, penyelidikan bersama dan pembangunan kapasiti mengeratkan lagi hubungan Malaysia dan rantau Afrika terutama dalam aspek memperluas jaringan akademik,” jelas Datuk Dr. Anesee dalam ucapan persmian Pameran ‘Study In Malaysia’ bersempena Forum Pendidikan Tinggi Malaysia–Afrika 2025 (MAHEF2025-Afrika) yang akan berlangsung pada 24 November di Nairobi, Kenya.
YBhg. Datuk Dr. Anesee yang mengetuai delegasi Kementerian menegaskan bahawa pengantarabangsaan pendidikan tinggi merupakan antara fokus utama Kementerian serta Malaysia dengan pembangunan sistem pendidikan tinggi yang inklusif, berkualiti dan berdaya saing global selain kos pendidikan di Malaysia kekal kompetitif berbanding destinasi pengajian lain.
Lebih membanggakan, reputasi akademik IPT negara terus diiktiraf di peringkat antarabangsa antaranya Kuala Lumpur kini berada pada kedudukan ke-12 dunia dalam QS Best Student Cities 2026, sekali gus memperkukuh aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab ilmu, bakat dan inovasi global.
MAHEF2025-Afrika yang akan berlangsung pada 24 November ini turut melibatkan penyertaan tujuh negara rantau Afrika iaitu Kenya, Ethiopia, Rwanda, Somalia, South Sudan, Tanzania dan Uganda.
Ia memfokuskan kerjasama strategik antara Malaysia dan negara-negara Afrika melalui pengukuhan STEM, pengantarabangsaan, pertukaran pengetahuan dan penyelidikan, mobiliti pelajar serta akademia, dan usaha menyokong Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia ke arah memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab pendidikan global.
- Last updated on .
- Hits: 679