INSO 2025 Tonjol Potensi Belia Antarabangsa Dalam Sains Nuklear

Penyertaan pelajar dari 14 buah negara dalam Pertandingan Olimpik Sains Nuklear Antarabangsa (International Nuclear Science Olympiad, INSO) 2025 di Malaysia mengangkat reputasi negara sebagai hab pendidikan sains nuklear sejajar dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melahirkan saintis muda bertaraf antarabangsa.
Majlis Penutupan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud yang menyifatkan INSO 2025 sebagai medan strategik untuk memupuk minat, memperluas ilmu dan menjalin pemahaman antara budaya dalam kalangan pelajar sekolah menengah dari pelbagai negara.
Lebih 100 orang peserta termasuk pelajar, ketua pasukan dan pemerhati telah menyertai pertandingan ini yang merangkumi ujian bertulis dan eksperimen selain lawatan ilmiah serta program pertukaran budaya sepanjang seminggu penganjuran.
“Sains nuklear bukan sekadar teknologi di makmal atau reaktor. Ia berperanan penting dalam bidang perubatan, tenaga lestari, pertanian moden dan perlindungan alam sekitar,” ujar beliau sambil menekankan keperluan penguasaan ilmu ini berteraskan keselamatan, etika dan inovasi.
Beliau turut menghargai pencapaian para peserta yang disifatkan sebagai pelapis saintifik masa hadapan dengan potensi besar untuk menerajui bidang ini secara bertanggungjawab dan inklusif.
“Tidak kira sama ada anda membawa pulang pingat atau tidak, penyertaan anda mencerminkan semangat ingin tahu, pengetahuan luas dan keberanian, ciri-ciri penting pemimpin sains masa depan,” katanya.
Majlis turut menyaksikan penyampaian 12 pingat emas, perak dan gangsa selain empat Anugerah Khas bagi kategori Duta Nuklear (Nuclear Ambassador), Skor Tertinggi Ujian Teori (Highest Score in Theoretical Examination), Skor Tertinggi Ujian Eksperimen (Highest Score in Experimental Examination) dan Peserta Wanita Cemerlang (Outstanding Female Participant).
Trofi INSO turut diserahkan kepada Pengerusi INSO, Dr. Maya Al-Azri dalam satu upacara simbolik sebagai tanda penyerahan tanggungjawab penganjuran kepada negara tuan rumah seterusnya.
Dengan tema Menyemarak Cita-Cita, Merayakan Kecemerlangan (Fueling Ambition, Celebrating Excellence), INSO 2025 mencerminkan usaha berterusan KPT dalam menyediakan pendedahan pembelajaran berimpak tinggi kepada pelajar melalui jaringan kerjasama antarabangsa.
Program ini dianjurkan oleh Pusat PERMATA@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan dukungan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (International Atomic Energy Agency, IAEA), Bahagian PERMATA Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Agensi Nuklear Malaysia, Nuklear Malaysia (Atom Malaysia), UKMShape, CASIO Malaysia Sdn. Bhd. serta beberapa universiti tempatan.
Turut hadir, Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh.
- Last updated on .
- Hits: 757