In Person With Doc Zam USM: Bincang Kemenjadian Graduan Ke Solidariti Global

In Person With Doc Zam USM: Bincang Kemenjadian Graduan Ke Solidariti Global
English translation not available for this content.

“Kita mahu graduan kita 'menggapai langit' dengan ilmu pengetahuan global, tetapi dalam masa yang sama perlu 'mengakar ke bumi' dengan memahami dan menyumbang kembali kepada realiti masyarakat.”

Demikian amanat utama yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir di hadapan lebih 3,500 orang mahasiswa dalam program ‘In Person With Doc Zam’ di Universiti Sains Malaysia (USM) pada malam semalam.

Dewan Tuanku Syed Putra, USM bergema dengan sorakan gemuruh apabila para mahasiswa diberi peluang berinteraksi secara langsung dengan YB Menteri dalam suasana yang santai tetapi penuh pengisian.

Para mahasiswa tidak melepaskan peluang untuk mengemukakan soalan-soalan kritis merangkumi isu kebolehpasaran graduan, agenda inklusiviti OKU, cabaran peribadi dalam memilih jurusan dan peranan mahasiswa sebagai ejen perubahan.

Menjawab kebimbangan seorang mahasiswa mengenai cabaran, YB Menteri menasihatkan, "Orang yang paling berjaya dalam hidup ialah mereka yang belajar daripada kegagalan; jadikan setiap cabaran sebagai landasan untuk menjadi lebih baik lagi."

Program dialog interaktif yang dihoskan oleh alumni USM dan merupakan seorang pengacara serta personaliti televisyen terkenal Malaysia, Ahmad Fedtri Yahya itu turut menyentuh sentimen kemanusiaan global melalui perkongsian ringkas mengenai misi bantuan ‘Freedom Flotilla’ ke Gaza.

YB Menteri mengambil kesempatan itu untuk menyeru para mahasiswa agar sentiasa peka dan menzahirkan solidariti terhadap isu-isu kemanusiaan di seluruh dunia.

Dalam pada itu, YB Menteri turut melahirkan rasa bangganya terhadap USM yang disifatkannya sebagai sebuah institusi hebat berstatus APEX. Beliau turut mengucapkan tahniah atas pencapaian cemerlang universiti itu yang kini berada pada kedudukan ke-134 terbaik di dunia.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; serta Naib Canselor USM, Dato' Seri Prof. Dr. Abdul Rahman Mohamed. 

  • Last updated on .
  • Hits: 504
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 24 October 2025, 04:17:19.

sirim-logo