Hari Biasiswa 2026: Prakarsa KPT Perluas Penajaan dan Akses ke Menara Gading

Hari Biasiswa 2026: Prakarsa KPT Perluas Penajaan dan Akses ke Menara Gading
English translation not available for this content.

27 September 2026 | Ayer Keroh, Melaka

Program Hari Biasiswa Tahun 2026 menjadi antara prakarsa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperluas akses ke menara gading dengan menghimpunkan agensi penaja, institusi pendidikan dan bakal mahasiswa dalam satu program yang menyediakan maklumat mengenai pelbagai pilihan biasiswa, penajaan dan pembiayaan pengajian.

Program yang julung-julung kali diadakan itu melabuhkan tirai petang tadi setelah berlangsung selama dua (2) hari di Dewan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Melaka (KOMBES), Ayer Keroh, dengan sambutan menggalakkan daripada masyarakat melalui penyertaan secara fizikal dan maya.

Dianjurkan oleh Bahagian Biasiswa, KPT dengan kerjasama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) selaku urus setia bersama, program bertemakan "Menaja Potensi, Membina Legasi" itu menghimpunkan lebih 20 agensi penaja daripada sektor Kerajaan, swasta dan yayasan serta empat (4) penaja antarabangsa dari Jepun, Hungary, Rusia dan Amerika Syarikat.

Penyertaan para pengunjung sepanjang program memberi ruang kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), ibu bapa dan kaunselor mendapatkan maklumat secara terus daripada penyedia biasiswa dan penajaan.

Dalam sesi Bual Bicara bersama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Tuan Adam Adli Abd Halim semalam, beliau menegaskan bahawa akses pendidikan tinggi merupakan antara medium mobiliti sosial bagi membantu memutuskan kitaran kemiskinan keluarga berpendapatan rendah menerusi pendekatan berasaskan keperluan sebenar penerima.

Sebagai antara usaha memperluas akses tersebut, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyediakan penajaan pendidikan percuma kepada 10,000 orang pelajar daripada keluarga berpendapatan paling rendah serta 3,000 kuota bagi pelajar orang kurang upaya (OKU).

Pada masa yang sama, KPT turut bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam menyediakan laluan khas pembiayaan dan kemasukan universiti untuk atlet sukan negara.

Penawaran biasiswa dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor strategik termasuk pusat data, teknologi tinggi dan semikonduktor.

KPT merakamkan penghargaan kepada rakyat Negeri Melaka, semua agensi penaja, pempamer, rakan strategik dan urus setia yang menjayakan program ini serta berharap para pengunjung mendapat manfaat dan gambaran yang lebih jelas mengenai pilihan pendidikan tinggi, peluang penajaan dan pembiayaan yang tersedia.

  • Last updated on .
  • Hits: 51
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 28 September 2026, 10:34:15.

sirim-logo