KPT Himpun Agensi Penaja, Buka Peluang Pendidikan Tinggi di Hari Biasiswa 2026

26 September 2026 | Ayer Keroh, Melaka
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membuka tirai Program Hari Biasiswa Tahun 2026 secara rasmi pagi ini bertempat di Dewan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Melaka (KOMBES), Ayer Keroh.
Program berimpak tinggi selama dua hari (26 hingga 27 September 2026) ini dianjurkan KPT dengan kerjasama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) selaku urus setia bersama, dengan mengangkat tema "Menaja Potensi, Membina Legasi".
Program yang bermula jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang dan menyasarkan kehadiran pengunjung, khususnya pelajar lepasan SPM, STPM, Matrikulasi, pelajar TVET, institusi pendidikan tinggi (IPT), serta ibu bapa dan kaunselor.
Inisiatif penganjuran julung kali ini menghimpunkan lebih daripada 20 agensi penaja utama termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, yayasan, serta 4 penaja antarabangsa (Jepun, Hungary, Rusia, dan Amerika Syarikat) bagi menyediakan peluang penajaan dan pembiayaan pendidikan secara komprehensif khusus buat pelajar yang memerlukan.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Adam Adli Abd Halim, sejurus selepas Sesi Bual Bicara bersama beliau yang dikendalikan oleh Ketua Komunikasi Korporat, Hafizi Rosli selaku moderator.
Dalam ucapan beliau, YB Adam Adli menegaskan bahawa akses pendidikan tinggi kini dijadikan sebagai medium mobiliti sosial utama untuk memutus kitaran kemiskinan keluarga B40 menerusi penerapan prinsip keadilan mengikut keperluan sebenar penerima.
Sebagai bukti komitmen tersebut, PTPTN menyediakan penajaan pendidikan percuma khusus untuk 10,000 pelajar keluarga berpendapatan paling rendah dan 3,000 kuota OKU, manakala KPT turut menjalin kerjasama strategik bersama KBS bagi menyediakan laluan khas pembiayaan dan kemasukan universiti buat atlet sukan negara.
Selain itu, penawaran biasiswa bidang TVET turut menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya bagi menyahut pelaburan luar negara, khusus untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor strategik seperti pusat data (data center), teknologi tinggi, dan semikonduktor yang berupaya menjana pendapatan berlipat ganda.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Encik Ahmad Rizal Adnan; Pengurusan Tertinggi KPT dan UTeM serta pegawai-pegawai kanan Kementerian dan Agensi.
- Last updated on .
- Hits: 56
