Forum Ekonomi Malaysia 2026: KPT Perkenal Anjakan Besar RPTM 2026-2035, Tekad Laksana 'Unbundling' Demi Bakat Kalis Masa Hadapan

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini sedang giat memacu transformasi besar-besaran menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang bermatlamat mengubah landskap pendidikan negara daripada model tradisional kepada sistem yang luwes, dinamik, dan berpacukan nilai.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Adam Adli Abd Halim berkata, masyarakat dan pemegang taruh perlu menerima hakikat bahawa laluan pendidikan linear dan berstruktur yang diamalkan selama ini tidak selamanya akan menjamin kejayaan mutlak dalam pasaran kerja masa hadapan.
Menurut beliau, dalam era pasca-normal yang penuh dengan gangguan teknologi (technological disruption), pendekatan 'satu saiz untuk semua' tidak lagi memadai dan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) perlu beralih kepada Lonjakan 8 (Shift8) dalam RPTM, iaitu pelaksanaan pemecahan pakej pendidikan atau 'unbundling of education'.
"Pendekatan ini membenarkan kemasukan dan pengeluaran berbilang (multiple entries and exits) serta penyusunan mikro-kredit yang membolehkan pelajar membina kemahiran mengikut keperluan industri semasa," jelas beliau.
Beliau berkata demikian semasa menjadi ahli panel dalam sesi diskusi bertajuk "Building & Attracting Future Ready Talent" bersempena Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2026 anjuran Kementerian Ekonomi (KE) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur pagi tadi.
Sesi tersebut dikendalikan oleh moderator, Danial Rahman yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Asian Strategy & Leadership Institute (ASLI).
Mengulas lanjut, YB Tuan Adam Adli menegaskan bahawa universiti perlu berhenti mengamalkan sikap 'philopietism' atau terlalu mengagungkan tradisi lama sehingga menyukarkan inovasi, sebaliknya IPT perlu meraikan pembelajaran berasaskan projek dan pengalaman, selari dengan perubahan yang telah dilaksanakan di peringkat sekolah yang kini kurang berorientasikan peperiksaan.
Menyentuh mengenai isu penghijrahan bakat atau 'Brain Drain', beliau mengakui bahawa struktur gaji di Malaysia yang disifatkan sebagai ditekan secara buatan (artificially suppressed) adalah antara faktor pendorong utama graduan memilih untuk bekerja di luar negara, namun kerajaan optimis pelaburan baharu dan komitmen memperbaiki struktur ekonomi akan menawarkan gaji yang lebih setimpal kelak.
Pandangan YB Adam Adli turut disokong oleh ahli panel lain, di mana Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Talent Corporation Malaysia (TalentCorp), Edward Ling menyatakan bahawa mobiliti bakat perlu dilihat sebagai satu pusingan otak (brain circulation) yang positif, sambil menekankan usaha TalentCorp menyediakan insentif cukai dan program latihan amali berstruktur.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Skills Development Centre (PSDC), Dr. Hari Narayanan menekankan kepentingan tenaga pengajar universiti untuk sentiasa turun padang ke industri bagi memahami nuansa aplikasi teknologi terkini agar graduan mampu "menghubungkan titik-titik" (connecting the dots) antara teori dan praktikal.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ViTrox Corporation, Dato' Chu Jenn Weng pula berkongsi inspirasi bahawa keberanian dan tujuan yang jelas adalah ramuan utama bagi usahawan teknologi tempatan untuk berjaya di peringkat global, dan turut mengumumkan inisiatif ViTrox Institute of Technology yang bekerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai model baharu universiti dalam industri (Industry On Campus, IOC).
Selain itu, apabila ditanya, kesemua ahli panel termasuk YB Adam Adli bersetuju bahawa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dijangka akan berkembang lebih pantas berbanding laluan ijazah tradisional dalam dekad akan datang, menandakan pergeseran besar dalam permintaan kemahiran pasaran.
- Last updated on .
- Hits: 218
