Forum Ekonomi Malaysia 2026: KPT Sokong Aspirasi PM Jadikan Pendidikan Tinggi Pemacu Mobiliti Sosial

Peluang akses kepada pendidikan berkualiti dan latihan kemahiran tinggi diletakkan sebagai prasyarat utama dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat.
Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pembangunan ekonomi hanya bermakna apabila ia membuka ruang kepada pendidikan yang lebih baik dan pekerjaan yang bermaruah untuk rakyat.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyambut baik amanat tersebut dengan mempergiat usaha mendemokrasikan pendidikan tinggi bagi membolehkan mobiliti sosial berlaku dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.
Dalam ucapan perasmian Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2026 petang tadi, YAB Perdana Menteri menekankan bahawa pendidikan adalah "equalizer" atau penyama taraf yang paling berkuasa dalam merapatkan jurang ketidaksamaan.
Beliau mengumumkan peruntukan melebihi RM84 bilion dalam Belanjawan 2026 yang membuktikan keseriusan kerajaan melakukan reformasi menyeluruh dalam sektor pendidikan dan latihan.
Justeru, KPT komited memastikan dana tersebut dimanfaatkan untuk memperkasa infrastruktur Institusi Pendidikan Tinggi dan program pembangunan mahasiswa agar selari dengan keperluan pasaran semasa.
Kehadiran Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Adam Adli Abd Halim ke forum ini turut mencerminkan sokongan rentas kementerian dalam memperkasa agenda pembangunan anak muda dan mahasiswa.
Fokus kerajaan kini beralih kepada aspek pelaksanaan di mana Institusi-institusi Pendidikan dituntut untuk lebih responsif terhadap perubahan landskap pekerjaan global.
Sinergi antara dasar ekonomi makro dan strategi pendidikan tinggi adalah kritikal bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Amar Hj. Fadillah Yusof; Premier Sarawak, YAB Tan Sri Dato' Patinggi Dr Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg; dan Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
- Last updated on .
- Hits: 185
