Sesi Libat Urus Bersama Naib-Naib Canselor UA Perkukuh Agenda Transformasi Pendidikan Tinggi Negara

Sesi Libat Urus Bersama Naib-Naib Canselor UA Perkukuh Agenda Transformasi Pendidikan Tinggi Negara
English translation not available for this content.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkukuh kerangka pembangunan pendidikan tinggi negara menerusi sesi libat urus strategik YB Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir bersama Naib-Naib Canselor Universiti Awam (UA) di World Trade Centre Kuala Lumpur semalam.

Sesi ini menjadi wadah penting untuk memperhalusi hala tuju sektor pendidikan tinggi, selain menilai keberkesanan pelaksanaan dasar, strategi serta inisiatif yang telah dirangka agar selari dengan aspirasi pembangunan negara dan keperluan semasa ekosistem pendidikan tinggi.

YB Menteri dalam ucapannya berkata, penganjuran sesi ini yang diteruskan secara konsisten sejak tiga tahun lalu mencerminkan komitmen KPT dalam mengamalkan pendekatan tadbir urus yang inklusif, berasaskan perkongsian kepakaran serta kolaborasi strategik antara kementerian dan institusi pendidikan tinggi.

Tahun 2026 ditetapkan sebagai tahun pemerkasaan pelaksanaan dasar, dengan penekanan kepada penterjemahan perancangan strategik kepada tindakan yang bersifat holistik, berfokus dan berimpak tinggi. Keutamaan jua diberikan kepada pelaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang telah diluncurkan oleh YAB Perdana Menteri pada Januari lalu sebagai kerangka utama transformasi sektor pendidikan tinggi negara.

Sehubungan itu, keupayaan institusi untuk mempertingkat kecekapan penyampaian, memperkukuh kecemerlangan akademik serta memperluas jaringan kolaborasi strategik dengan industri dan komuniti menjadi elemen kritikal dalam memastikan daya tahan serta daya saing pendidikan tinggi Malaysia di peringkat global.

Dalam pada itu, KPT turut menekankan kepentingan pendekatan keseluruhan ekosistem dengan penglibatan aktif semua pemegang taruh termasuk mahasiswa, tenaga akademik, warga institusi, rakan industri, alumni, ibu bapa serta masyarakat dalam merealisasikan agenda pembangunan pendidikan tinggi negara secara mampan.

Sebagai langkah kesinambungan, KPT akan memperluaskan sesi libat urus bersama institusi politeknik, kolej komuniti serta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) bagi memastikan penyelarasan dasar dan pelaksanaan inisiatif dapat dilaksanakan secara menyeluruh merentasi landskap pendidikan tinggi negara. 

  • Last updated on .
  • Hits: 181
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 11 February 2026, 08:37:21.

sirim-logo