FIM Siri 12 Bersama SC: Memacu Kedudukan Malaysia Dalam Gelombang Baharu Aliran Modal Global

22 Mei 2026 | Kuala Lumpur
Malaysia perlu mengurus perubahan aliran modal global secara lebih strategik dengan mengambil kira peralihan pusat pertumbuhan ekonomi dunia ke rantau ASEAN+3 serta peningkatan persaingan dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi.
Pendekatan tersebut menjadi antara fokus utama dalam Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri 12 bertemakan “Memacu Kedudukan Malaysia dalam Gelombang Baharu Aliran Modal Global” yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di Kuala Lumpur.
Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa wacana ilmiah berstruktur perlu terus diperkukuh sebagai asas kepada pembentukan dasar negara yang lebih terbuka, berasaskan hujah dan tidak terikat kepada satu pandangan tunggal.
Beliau berkata, platform seperti FIM membolehkan pandangan pelbagai pihak termasuk kerajaan, sektor swasta dan agensi pengawal selia disatukan bagi memperhalusi dasar ekonomi negara secara lebih seimbang.
Menurut beliau, pendekatan ini penting bagi mengelakkan budaya selesa walaupun petunjuk ekonomi negara menunjukkan prestasi memberangsangkan, kerana cabaran global sentiasa berubah dan memerlukan penyesuaian berterusan.
Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dalam pembentangannya menjelaskan bahawa Malaysia kini berada dalam fasa penting kitaran baharu aliran modal global yang turut dipengaruhi ketidaktentuan geopolitik, perubahan rantaian bekalan dan transformasi teknologi.
Beliau memperincikan kerangka RAISE (Membina Semula, Mengaktifkan, Menambah Baik, Memperkukuh dan Membolehkan Skala) sebagai pendekatan menyeluruh dalam memperkukuh asas ekonomi negara melalui pembaharuan fiskal, pengaktifan modal domestik dan peningkatan daya saing pelaburan.
Menteri Kewangan II turut memaklumkan bahawa prestasi pelaburan negara mencatat rekod tertinggi dengan keseimbangan antara pelaburan domestik dan pelaburan asing, mencerminkan keyakinan terhadap asas ekonomi Malaysia.
Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Dato’ Mohammad Faiz Azmi, menegaskan bahawa agenda pemerkasaan pasaran modal negara diteruskan melalui inisiatif “My Value Up (Pemerkasaan Nilai Saya)” yang memberi tumpuan kepada peningkatan prestasi syarikat tersenarai utama.
Beliau berkata, usaha turut digerakkan bagi memperluas liputan penganalisis, meningkatkan ketelusan syarikat serta memperkukuh kedudukan Malaysia dalam indeks global seperti Indeks MSCI (Morgan Stanley Capital International) dan FTSE (Financial Times Stock Exchange).
Ketua Kumpulan dan Pakar Ekonomi Utama ASEAN+3 Macroeconomic Research Office (AMRO), Mr. Allen Ng, berkata rantau ASEAN+3 kini menjadi pusat graviti baharu ekonomi dunia dengan sumbangan besar kepada pengeluaran dan permintaan global.
Beliau menjelaskan bahawa konsep daya saing kini tidak lagi hanya bergantung kepada kos rendah, sebaliknya turut merangkumi ketahanan rantaian bekalan, kestabilan dasar dan kejelasan peraturan sebagai asas utama penentuan tahap kebolehlaburan sesebuah negara.
Tambah beliau, Malaysia perlu melangkah ke fasa seterusnya dengan memperkukuh pengantarabangsaan syarikat tempatan agar mampu menjadi pemain serantau dan seterusnya pengeksport modal ke luar negara.
KPT dalam masa sama menegaskan komitmen untuk memastikan hasil perbincangan forum diterjemahkan kepada dasar awam, penyelidikan berimpak tinggi dan pembangunan bakat di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta.
Forum ini turut menjadi platform utama yang menghubungkan ekosistem ilmu, dasar kerajaan dan industri bagi memperkukuh kedudukan Malaysia dalam aliran modal global yang semakin kompleks.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Setiausaha KPT, Dato' Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim; bersama kepimpinan tertinggi sektor kewangan, ahli akademik dan pemain industri.
- Last updated on .
- Hits: 83
