KPT di PBAKL2026:INISIATIF BAUCAR BUKU MADANI KEKAL, PAVILION MAPIM TARIK PEMINAT BUKU ILMIAH

KPT di PBAKL2026:INISIATIF BAUCAR BUKU MADANI KEKAL, PAVILION MAPIM TARIK PEMINAT BUKU ILMIAH
English translation not available for this content.

29 Mei 2026 | Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL)

Pembinaan tamadun bangsa yang maju dan berilmu menerusi pembudayaan ilmu serta pengukuhan amalan membaca dalam kalangan generasi muda terus menjadi teras penting dalam usaha membangunkan masyarakat MADANI yang progresif, berdaya fikir dan berakhlak tinggi.

Komitmen tersebut diterjemahkan menerusi penganjuran tahunan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) edisi 2026 bertemakan “Malaysia Membaca: Merayakan Buku” yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim di sini pagi tadi.

Sebagai acara tahunan terbesar industri perbukuan negara dan antara yang utama di rantau ini, PBAKL terus menjadi platform penting dalam memperkukuh ekosistem penerbitan tempatan, memperluas akses masyarakat terhadap bahan bacaan berkualiti serta membudayakan amalan membaca dalam semua lapisan masyarakat.

PBAKL2026 mensasarkan kehadiran lebih 2 juta pengunjung sepanjang tempoh 10 hari berlangsung dengan penyertaan meluas melibatkan penerbit, penulis, institusi pendidikan, agensi kerajaan serta pemain industri buku dari dalam dan luar negara.

Beliau turut mengumumkan pengekalan inisiatif Baucar Buku MADANI bernilai RM100 yang akan disalurkan secara langsung kepada mahasiswa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai usaha berterusan memperkasa budaya ilmu dalam kalangan generasi muda.

Menurut beliau, komitmen kerajaan dalam meneruskan pemberian insentif tersebut membuktikan bahawa pembangunan intelektual dan kebajikan mahasiswa kekal menjadi keutamaan meskipun kerajaan sedang melaksanakan langkah penyelarasan perbelanjaan susulan ketidaktentuan ekonomi global.

Sehubungan itu, mahasiswa disaran memanfaatkan baucar berkenaan untuk mendapatkan bahan bacaan berkualiti dan bernilai ilmu tinggi bagi membentuk pemikiran yang matang, kritis dan berdaya saing sekali gus mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan lambakan kandungan dangkal di media sosial.

Bagi menyemarakkan lagi PBAKL 2026, KPT turut meneruskan penyertaan strategik menerusi Pavilion Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) yang menghimpunkan penerbit buku ilmiah daripada Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta tempatan.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek; Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim; Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2026, Mohd Khair Ngadiron; dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Sastera, Penerbitan dan Penterjemahan Arab Saudi, Dr. Abdul Latif Alwasel. 

  • Last updated on .
  • Hits: 115
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 15 June 2026, 10:03:49.

sirim-logo