Diplomasi Akademik Malaysia-Nigeria: Memperkukuh Kerjasama Pendidikan Tinggi Dan Merapatkan Hubungan Dua Negara

3 September 2026 I Putrajaya
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menerima kunjungan hormat daripada Pesuruhjaya Tinggi Republik Persekutuan Nigeria ke Malaysia, H.E. Ahmed Olatunji Sulu-Gambari petang semalam.
Pertemuan ini menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan diplomatik sedia ada, di samping membina kerjasama pendidikan tinggi yang lebih praktikal dan memberi manfaat jangka panjang kepada kedua-dua belah pihak.
H.E. Ahmed Olatunji Sulu-Gambari, yang mula bertugas di Malaysia pada Julai 2026, menyatakan komitmen untuk merapatkan jurang antara kedua-dua negara dalam usaha memperkukuh persefahaman serta hubungan dua hala yang lebih erat.
Perbincangan menyentuh pelbagai potensi kerjasama, antaranya usaha meningkatkan kemasukan pelajar, memperkemas kerangka kerjasama rasmi, serta meneroka peluang penyelidikan dan biasiswa bersama. Turut dibincangkan adalah pengukuhan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) melalui latihan tenaga pengajar dan penyelarasan kelayakan mengikut standard industri global.
Melalui pengukuhan diplomasi akademik dan kerjasama strategik ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berharap Malaysia dan Nigeria dapat terus menyokong pembangunan modal insan serta memantapkan jalinan hubungan pendidikan antarabangsa antara kedua-dua negara.
- Last updated on .
- Hits: 1047
