AI Dan Pembelajaran: Cabaran Dan Potensi Jadi Topik Sesi ‘Talk To Us’ YB Timbalan Menteri Di UOC

AI Dan Pembelajaran: Cabaran Dan Potensi Jadi Topik Sesi ‘Talk To Us’ YB Timbalan Menteri Di UOC
English translation not available for this content.

Isu peranan dan cabaran kecerdasan buatan (AI) dalam budaya pembelajaran masa kini menjadi tumpuan dalam sesi dialog Talk to Us yang dihoskan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud semalam di University of Cyberjaya (UoC).

Sesi tersebut, yang merupakan sebahagian daripada rangka lawatan kerja YB Timbalan Menteri ke UoC, membuka ruang kepada warga universiti khususnya para pelajar untuk mengutarakan pandangan serta persoalan berhubung transformasi pembelajaran era digital.

Antara topik utama yang disentuh termasuk kebimbangan terhadap kebergantungan kepada AI, etika penggunaan teknologi dalam penulisan akademik dan keperluan membina daya fikir kritikal dalam kalangan pelajar meskipun dunia semakin dipacu automasi.

Dalam sesi tersebut, YBTM turut menekankan bahawa teknologi tidak seharusnya menggantikan nilai kemanusiaan tetapi dimanfaatkan sebagai alat memperkasa pendidikan yang lebih inklusif, tangkas dan berimpak tinggi.

Sebelum itu, ketibaan YB Datuk Ts. Mustapha telah disambut oleh barisan Lembaga Pengarah UOC yang diketuai Dato’ Hj Abd Rashid Hj Mohd Sharif; Timbalan Naib Canselor (Akademik), Prof. Dr. Azrin Esmady Ariffin; serta Pengarah, Bahagian Standard Swasta, Jabatan Pendidikan Tinggi, Husaini Amir Azizan. 

  • Last updated on .
  • Hits: 202
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 05 August 2025, 07:21:23.

sirim-logo