KSU KPT Adakan Lawatan Kerja Ke Republik Indonesia, Perkukuh Kerjasama Bidang Pendidikan Tinggi

Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim memulakan lawatan kerja ke Republik Indonesia (RI) selama dua hari bermula hari ini.
Lawatan kerja ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan KPT untuk memperkukuhkan hubungan dan kerjasama serantau terutama dalam bidang pendidikan.
KSU KPT telah mengadakan mesyuarat dua hala bersama Direktor Jeneral Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi RI, Prof. Dr. Khairul Munadi di Jakarta, petang tadi.
Pelbagai isu yang dibincangkan termasuk Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pendidikan tinggi yang bakal membawa pelbagai manfaat termasuk menggalakkan pertukaran budaya dan memperkukuh kerjasama akademik.
Kerjasama strategik antara kedua-dua Kementerian dua negara ini juga turut memperkukuh bidang penyelidikan dan pembangunan yang memberi penekanan kepada kerjasama kepakaran dalam bidang teknologi maju.
Kerjasama antara institusi juga turut dibincangkan terutama aspek mobiliti pelajar dan tenaga pengajar. Untuk rekod, sehingga Mac 2025, sebanyak 11,293 orang pelajar Indonesia sedang melanjutkan pengajian di Malaysia manakala pelajar warganegara di Indonesia seramai 1,122.
Terdahulu, KSU KPT turut mengadakan kunjungan hormat kepada Duta Malaysia ke RI, TYT Dato’ Syed Mohamad Husrin Tengku Hussain. Beliau turut membincangkan mengenai strategi untuk menarik minat lebih ramai pelajar Indonesia menyambung pengajian di IPT tempatan.
KSU KPT turut mengadakan lawatan ke Pejabat Education Malaysia (EM) Indonesia serta telah diberikan taklimat ringkas pengoperasian oleh Pengarahnya, YBrs. Dr. Hasnul Faizal Hushin Amri.
Lawatan kerja ini turut disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, EMGS, YBrs. Encik Novie Tajuddin.
- Last updated on .
- Hits: 129