Jejak TVET MADANI Ke Politeknik Banting (PBS), YBTM Tinjau Program Diploma Penyenggaraan Pesawat Dan Alumni PBS Di MAG

Jejak TVET MADANI Ke Politeknik Banting (PBS), YBTM Tinjau Program Diploma Penyenggaraan Pesawat Dan Alumni PBS Di MAG
English translation not available for this content.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud memuji usaha dan komitmen Politeknik Banting (PBS) melahirkan bakat mahir dalam bidang penyenggaraan pesawat, yang kini menjadi antara tenaga kerja paling dicari oleh industri penerbangan dalam dan luar negara.

Menurut beliau dalam lawatannya semalam, peranan PBS dalam menyediakan tenaga mahir yang memenuhi keperluan sektor penerbangan adalah selaras dengan aspirasi Kementerian untuk memperkukuh laluan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) yang berteraskan permintaan industri sebenar.

Terdahulu, YB Datuk Ts. Mustapha telah mengadakan lawatan kerja ke PBS sebagai sebahagian daripada pelaksanaan program Jejak TVET MADANI yang digerakkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Ketibaan beliau disambut oleh Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dato’ Dr. Haji Mohd Zahari Ismail serta Pengarah PBS, Ts. Ibrahim Burhan bersama barisan pengurusan institusi.

Lawatan dimulakan dengan pembentangan oleh pihak pengurusan PBS mengenai peranan dan pencapaian institusi dalam bidang pendidikan teknikal.

Ia diikuti ucapan amanat oleh YB Datuk Ts. Mustapha yang menekankan keperluan memperkukuh sinergi antara institusi dan industri bagi memastikan kelangsungan kebolehpasaran graduan.

Sesi dialog turut diadakan antara YB Timbalan Menteri bersama pengurusan dan pensyarah dari institusi POLYCC Zon Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Sesi tersebut memberi tumpuan kepada penambahbaikan dasar, keperluan sumber manusia, serta hala tuju strategik pendidikan TVET.

Pada sebelah petang, program diteruskan dengan lawatan ke Malaysia Aviation Group (MAG) di KLIA, di bawah inisiatif Jejak TVET MADANI.

Lawatan tersebut turut melibatkan sesi libat urus bersama beberapa alumni PBS yang kini berkhidmat dalam pelbagai anak syarikat di bawah naungan MAG.

Antara wakil industri yang hadir termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Aviation Services, Mohd Nadziruddin Mohd Basri; Ketua Pegawai Operasi MAB Engineering Services, Eke Nazri Rahim; dan Ketua Pegawai Operasi MAB Academy, Aida Salfaraz Ahmad Fadzil.

Pertemuan ini membuka ruang perbincangan mengenai kerjasama antara institusi TVET dan sektor penerbangan negara, khususnya dalam pemadanan kemahiran serta latihan industri berfokuskan teknologi tinggi.

Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KPT untuk memastikan ekosistem TVET terus responsif terhadap keperluan semasa dan masa depan negara. 

  • Last updated on .
  • Hits: 75
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 15 July 2025, 05:51:14.

sirim-logo