AA POLYCC: Pengiktirafan Kepada Tenaga Pengajar Politeknik Dan Kolej Komuniti

AA POLYCC: Pengiktirafan Kepada Tenaga Pengajar Politeknik Dan Kolej Komuniti
English translation not available for this content.

"Bagi saya, pendidikan kemahiran sangat penting untuk membawa lonjakan dalam pendidikan tinggi negara."

"Justeru, kita mahu rakyat Malaysia dikenali sebagai masyarakat yang mahir, seperti di Switzerland atau Jerman, di mana mereka sendiri mampu melakukan kerja-kerja kemahiran seperti mengecat rumah dan membaiki alat teknologi".

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KSU KPT), YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkata demikian ketika merasmikan Anugerah Akademia Politeknik dan Kolej Komuniti (AA POLYCC) 2024 anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) bersempena sambutan Bulan Akademia tahun ini yang berlangsung di sini petang tadi.

Mengangkat tema “Transformasi Akademia dengan AI: Masyarakat MADANI Berinovasi”, majlis yang diadakan bersempena sambutan Bulan Akademia tahun ini tersebut dianjurkan bagi memberi penghargaan kepada tenaga pengajar POLYCC yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam pelbagai bidang seperti kurikulum, penyelidikan, inovasi, pembelajaran, dan pengajaran.

KSU KPT dalam ucapanya telah mengumumkan langkah penting yang diambil dalam memperkukuh institusi POLYCC, iaitu menukar struktur pentadbiran mereka kepada badan berkanun.

Langkah ini dijangka siap dalam masa terdekat, sekali gus membuka lebih banyak peluang bagi peningkatan kemahiran melalui program jangka pendek dan mikro-credential.

Dalam majlis tersebut, beliau juga telah menyampaikan anugerah kepada para penerima bagi kategori-kategori Anugerah Ikon Sukarelawan, Anugerah Ikon Kokurikulum, Anugerah Mentor Keusahawanan, Anugerah Pembelajaran dan Pengajaran (PdP), Anugerah Penyelidikan dan Inovasi, serta Anugerah Tokoh Akademia TVET.

JPPKK pada tahun ini telah turut mengiktiraf mantan Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato' Ts. Amir Md. Noor sebagai Tokoh Akademia 2024, atas sumbangan besar beliau terhadap pembangunan TVET negara selama ini.

Majlis ini merupakan satu penghargaan kepada para akademia dan diharapkan dapat memperkasakan pendidikan TVET demi masa depan negara yang lebih cemerlang.

Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato' Dr. Haji Mohd Zahari Ismail. 

  • Last updated on .
  • Hits: 1256
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 12 February 2025, 10:29:14.

sirim-logo