COMETIC'24, Bincang Kesan Teknologi Dan Komunikasi Terhadap Masyarakat Mutakhir

COMETIC'24, Bincang Kesan Teknologi Dan Komunikasi Terhadap Masyarakat Mutakhir
English translation not available for this content.

"Dunia media dan komunikasi mutakhir ini amat mencabar dan memerlukan penelitian yang mendalam".

"Justeru, seminar seperti COMETIC'24, anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini penting untuk meningkatkan pemahaman tentang kesan teknologi komunikasi terhadap masyarakat, khususnya dalam aspek nilai dan pemikiran generasi muda," ujar Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan majlis penutup Persidangan Antarabangsa Pusat Media dan Komunikasi 2024 (Communication and Media Centre International Conference 2024 - COMETIC'24) di sini petang tadi.

Berlangsung selama dua (2) hari, dari 16 hingga 17 Oktober, persidangan ini merupakan anjuran Communication and Media Centre (COMET), AbdulHamid Abu Sulayman, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, UIAM dengan tema "Communication and Media Pause: Reflection, Values, and Impacts".

COMETIC'24 telah melibatkan penyertaan 53 buah negara secara hibrid, sekali gus mengangkatnya sebagai salah satu platform antarabangsa yang signifikan dalam mengumpulkan para pakar dari seluruh dunia untuk membincangkan isu-isu utama dalam komunikasi dan media.

Persidangan ini bukan sahaja menjadi medan perbincangan akademik tetapi turut menggariskan cabaran-cabaran semasa yang dihadapi industri komunikasi dan media, terutama dalam era digital yang mempercepatkan penyebaran maklumat.

Pada penganjuran kali ini menyaksikan pembentangan sebanyak 53 kertas kerja yang menjurus kepada topik-topik berkaitan komunikasi dan media.

YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry turut menambah, "Saya berharap agar persidangan ini akan terus memberikan hasil yang baik, bukan sahaja kepada bidang komunikasi tetapi juga dalam meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama dalam pendidikan tinggi."

Malah, ia turut membuka ruang untuk merenung kembali kesan jangka panjang teknologi komunikasi, sambil membincangkan keseimbangan antara kepantasan penyampaian maklumat dan ketepatan data yang disebarkan.

COMET sebagai Pusat Penyelidikan UIAM yang bertujahkan disiplin komunikasi, memainkan peranan penting dalam meneroka landskap media yang sentiasa berubah dan memahami kesannya terhadap masyarakat.

Selain itu, persidangan anjuran UIAM ini turut diharapkan dapat memberi impak yang signifikan dalam industri komunikasi dan media tempatan dan global.

Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; serta Rektor UIAM, Datuk Prof. Emeritus Dr. Osman Bakar. 

  • Last updated on .
  • Hits: 1260
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 12 February 2025, 10:29:14.

sirim-logo