Kecemerlangan Penyelidikan HPU Tonggak Penting Pacu Sektor Kesihatan Negara

“Sebagai sebuah negara yang beraspirasi tinggi dalam bidang penjagaan kesihatan, kita harus memastikan bahawa usaha ke arah kecemerlangan penyelidikan dalam Hospital Pengajar Universiti (HPU) terus diberi keutamaan.
Penyelidikan yang berkualiti akan memastikan kita sentiasa berada di hadapan dalam menyediakan rawatan perubatan terbaik kepada rakyat, sekali gus mampu memacu sektor kesihatan negara.”
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud menekankan yang demikian ketika merasmikan Persidangan Kebangsaan Pusat Perubatan Akademik Konsortium Hospital Universiti Awam Malaysia (KHUAM) kali ke-6 di sini pagi tadi.
Bertemakan “Menyelusuri Keunggulan Penyelidikan Hospital Pengajar”, persidangan tersebut telah dianjurkan oleh Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), dengan kerjasama KHUAM.
Menghimpunkan para penyelidik, pakar perubatan, dan pentadbir dari HPU awam seluruh negara, persidangan tersebut bertujuan membincangkan penemuan penyelidikan terkini serta pembaharuan dalam pengurusan hospital pengajar.
Selain itu, ia turut memberi peluang penting kepada semua pihak untuk menilai dan memperbaiki mutu penyelidikan serta perkhidmatan di bawah Konsortium Hospital Universiti Awam Malaysia (KHUAM).
YB Datuk Ts. Mustapha juga menyeru agar kolaborasi yang lebih luas dijalinkan, bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga antarabangsa, sebagai usaha memperkukuh penyelidikan perubatan negara.
Beliau berkata, “Kerjasama antara universiti, hospital pengajar, hospital kementerian, hospital swasta, dan rakan industri adalah amat penting untuk memastikan kita boleh memanfaatkan sumber, kepakaran, dan teknologi terkini dalam menerobos peluang yang maha luas dalam bidang ini.”
KHUAM yang ditubuhkan pada 15 Jun 2017, bertujuan untuk menyediakan pendekatan yang sistematik dan bersepadu dalam pengurusan hospital pengajar universiti awam.
Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Naib Canselor UPM, Dato' Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah; Pengerusi KHUM, Prof. Dr. Nazirah Hasnan; serta Pengarah HSAAS UPM, Prof. Dr. Hamidon Basri.
- Last updated on .
- Hits: 1165