SIARAN MEDIA
PROF. DR. AHMAD MARTADHA MOHAMED DILANTIK NAIB CANSELOR
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA KE-11
Sukacita dimaklumkan bahawa Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) yang ke-11 berkuat kuasa 16 Disember 2025.
Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, 57 tahun, merupakan graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik dari Southern Illinois University, Carbondale, Amerika Syarikat. Beliau kemudiannya telah melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Awam di Indiana State University, Amerika Syarikat sebelum memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang yang sama dari Southern Illinois University.
Beliau berpengalaman luas dalam bidang kepimpinan dan tadbir urus universiti dan pernah dilantik ke beberapa jawatan strategik di UUM termasuklah sebagai Dekan Pembangunan Pelajar, UUM dari tahun 2005 hingga 2008, Dekan (Pembangunan Pelajar dan Keusahawanan) dan Pengarah Perancangan Strategik dan Kualiti, Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, UUM antara tahun 2005 hingga 2013. Beliau seterusnya dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM bermula tahun 2022 hingga kini.
Kementerian yakin, kepakaran beliau dalam bidang pentadbiran awam serta pengalaman menerajui institusi di pelbagai peringkat, beliau mampu menerajui UUM dan memainkan peranan strategik sebagai pemacu utama dalam memperkukuh budaya pemindahan ilmu serta merealisasikan visi universiti untuk menjadi sebuah institusi pengurusan terkemuka yang berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.
Kementerian turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Dato’ Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan atas jasa bakti beliau menerajui UUM sebelum ini.
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
17 DISEMBER 2025
Muat Turun:
- Last updated on .
- Hits: 442