SIARAN MEDIA
PELANTIKAN PRESIDEN
UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA KE-10
Sukacita dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj selaku Ketua Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah memberi perkenan untuk melantik YBhg. Tan Sri Abdul Rashid Hussain sebagai Presiden UIAM ke-10. Pelantikan ini untuk tempoh tiga (3) tahun berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2028 bagi menggantikan Tan Sri Samsudin Osman yang telah tamat tempoh pelantikan pada 30 Jun 2025.
Pelantikan Tan Sri Abdul Rashid Hussain adalah berdasarkan kepada ketokohan dan kewibawaan beliau dalam sektor korporat negara terutama dalam bidang kewangan Islam. Beliau merupakan pengasas kepada Kumpulan Perbankan Rashid Hussain Berhad (RHB) dan kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Tabung Haji sejak tahun 2023. Beliau juga bukanlah orang baharu dalam bidang pendidikan tinggi apabila dilantik sebagai Ahli Lembaga Gabenor UIAM pada tahun 2018 hingga kini dan turut menyandang jawatan Pro-Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka mulai tahun 2024.
Kementerian yakin dengan pelantikan Tan Sri Abdul Rashid Hussain akan memperkukuh lagi peranan UIAM sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang berteraskan nilai-nilai Islam, sekali gus meningkatkan keterlihatan dan daya saingnya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Kementerian turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi- tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Samsudin bin Osman atas jasa bakti beliau sebagai Presiden UIAM sebelum ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi
1 Julai 2025
Muat Turun:
pdf Siaran Media - Pelantikan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Ke-10(110 KB)
- Last updated on .
- Hits: 1706