SIARAN MEDIA
MESYUARAT YB MENTERI PENDIDIKAN TINGGI BERSAMA EXCO
PENDIDIKAN DAN PENDIDIKAN TINGGI NEGERI PERKUKUH
PENYELARASAN DASAR PENDIDIKAN TINGGI NEGARA
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengadakan Mesyuarat YB Menteri Pendidikan Tinggi bersama Menteri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pendidikan dan Pendidikan Tinggi Negeri sebagai platform strategik bagi memperkukuh penyelarasan dasar antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam sektor pendidikan tinggi.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir ini telah dihadiri oleh empat (4) Menteri dan Exco iaitu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, YB Datuk James Ratib; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato' Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, YB Tuan Aznan Tamin; dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, YB Datuk Rahmad Mariman.
Ia bertujuan untuk menghebahkan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, sekali gus memastikan kerajaan negeri memperoleh pemahaman yang jelas dan terkini berhubung dasar, strategi serta keutamaan pembangunan pendidikan tinggi negara.
Selain itu, mesyuarat ini turut memberi fokus kepada hala tuju pendidikan tinggi negara termasuk perkembangan dan isu semasa di peringkat nasional dan antarabangsa. Pendekatan ini penting dalam memastikan penyelarasan dasar dan pelaksanaan yang lebih berkesan di peringkat negeri.
Platform ini juga dimanfaatkan untuk mendapatkan maklum balas, pandangan serta cadangan konstruktif daripada kerajaan negeri, khususnya berkaitan cabaran pelaksanaan serta potensi kerjasama strategik antara KPT dan Kerajaan Negeri. Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan KPT dalam memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi yang responsif, berdaya saing dan mampan, di samping memperluas jaringan kolaborasi strategik dalam pembangunan bakat, penyelidikan, inovasi serta peningkatan kebolehpasaran graduan selaras dengan aspirasi pembangunan negara.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Adam Adli Abd Halim; Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim dan barisan pengurusan tertinggi KPT.
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
21 APRIL 2026
Muat Turun:
- Last updated on .
- Hits: 496
