English translation not available for this content.

logo kpt black

SIARAN MEDIA

KPT PERKASA AGENDA PENDIDIKAN INKLUSIF MENERUSI
PROGRAM MOBILITI INCLUDE 2026


Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah meluangkan masa menyantuni 12 orang mahasiswa Orang Kurang Upaya (OKU) yang akan menyertai Program Mobiliti INCLUDE 2026 (International & Inclusive Learning for Diverse Excellence), sekali gus menzahirkan sokongan padu Kerajaan MADANI dalam memperkasa agenda pendidikan tinggi inklusif negara.

Sebagai tanda komitmen berterusan terhadap kebajikan dan pembangunan pelajar OKU, beliau turut bersetuju untuk menyalurkan sumbangan berjumlah RM10,000 daripada Yayasan Perkasa Siswa (YPS) bagi menyokong pelaksanaan program ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyokong penuh inisiatif inklusif Universiti Malaya (UM) menerusi pelaksanaan program tersebut yang dilancarkan semalam. Program ini merupakan langkah proaktif dalam memperkasa mahasiswa OKU melalui pendedahan pengalaman pembelajaran di peringkat antarabangsa, selaras dengan aspirasi KPT untuk memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi yang inklusif, saksama dan berdaya saing global.

INCLUDE 2026 merupakan program mobiliti outbound pertama yang direka khas bagi memenuhi keperluan unik pelajar OKU. Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memastikan akses pendidikan tinggi yang adil tanpa mengira latar belakang atau keupayaan fizikal.

Dalam pertemuan ini, Dr. Zambry bersama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Adam Adli Abd Halim serta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman meraikan pelajar-pelajar ini dengan berkongsi nasihat dan mendengar pandangan mereka yang majoritinya pertama kali akan menyertai program di luar negara. Seramai 12 pelajar OKU penglihatan akan terlibat dalam program mobiliti dari 5 hingga 9 Mei 2026 di Universitas Multimedia Nusantara, Jakarta, Indonesia. Mereka akan dibantu oleh empat orang pelajar (buddies) dan empat orang pegawai pengiring.

Program mobiliti ini akan dilaksanakan dalam dua siri utama sepanjang tahun 2026, iaitu:
• Siri I (Indonesia): 5 hingga 9 Mei 2026 di Universitas Multimedia Nusantara (UMN); dan
• Siri II (Thailand): September 2026 melibatkan Mahidol University serta King Mongkut's University of Technology Thonburi.

Dalam masa yang sama, KPT terus memperkukuh pelbagai inisiatif dan insentif khusus bagi menyokong pelajar OKU, antaranya:
• Bantuan Kewangan Pelajar OKU (BKOKU) bagi membantu pelajar meneruskan pengajian tanpa beban kewangan;
• Inisiatif pendidikan percuma kepada 3,000 pelajar OKU melalui pengecualian yuran pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA), politeknik dan kolej komuniti bermula tahun 2026;
• Pelaksanaan dasar pendidikan inklusif yang menekankan akses sama rata ke pendidikan tinggi untuk semua golongan OKU, selari dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035; dan
• Sokongan pembangunan pelajar, termasuk penyediaan geran serta peruntukan kepada persatuan pelajar OKU di universiti bagi memperkasa penglibatan dan kepimpinan mereka.

KPT yakin pelaksanaan program seperti INCLUDE 2026 serta sokongan berterusan melalui pelbagai dasar dan inisiatif ini mampu membuka lebih banyak peluang kepada pelajar OKU untuk mengembangkan potensi diri, meningkatkan keyakinan serta memperluas jaringan antarabangsa. Usaha ini seterusnya akan menyumbang kepada penghasilan graduan yang holistik, berdaya tahan dan mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
23 APRIL 2026

Muat Turun:

   pdf Siaran Media - KPT Perkasa Agenda Pendidikan Inklusif Menerusi Program Mobiliti INCLUDE 2026(151 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 192
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 24 April 2026, 08:22:27.

sirim-logo