English translation not available for this content.

logo kpt black

SIARAN MEDIA

LAWATAN KERJA MENTERI PENDIDIKAN TINGGI KE JEPUN, PERLUAS KERJASAMA STRATEGIK


Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir akan mengiringi YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam lawatan kerja ke Jepun bermula 17 hingga 21 Februari 2024. Lawatan kerja ini adalah sebagai usaha strategik KPT untuk memperluaskan lagi kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi di rantau Asia Timur.

Antara program yang akan turut disertai bersama-sama delegasi YAB Timbalan Perdana Menteri di bawah skop pendidikan tinggi adalah sesi libat urus bersama pelajar-pelajar Malaysia di Tokyo, Majlis Penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat kepada YAB Timbalan Perdana Menteri di Shibaura Institute of Technology, lawatan kerja ke Tokyo National Institute (KOSEN) serta pertemuan dua hala dengan Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun.

Selain menyertai program YAB Timbalan Perdana Menteri, YB Menteri Pendidikan Tinggi serta delegasi akan turut mengadakan lawatan kerja ke Universiti Tsukuba. Lawatan ke Universiti Tsukuba akan membolehkan delegasi mendapatkan gambaran dan perspektif yang lebih jelas terhadap rangkaian program akademik yang ditawarkan serta pendedahan terhadap kualiti fakulti, makmal dan sumber yang menyokong kepada bidang pengajian yang ditawarkan.

Menteri Pendidikan Tinggi juga akan turut melawat Universiti Waseda, iaitu sebuah institusi penyelidikan swasta yang telah melahirkan tokoh-tokoh terkemuka Jepun dalam pelbagai bidang termasuklah mantan-mantan Perdana Menteri Jepun. Lawatan ke Universiti Waseda akan membuka potensi kerjasama strategik dan mengenal pasti bidang fokus yang boleh dilaksanakan bersama dengan universiti-universiti di Malaysia.

Kecerdasan buatan (AI) telah menjadi salah satu inovasi teknologi yang telah mempengaruhi transformasi pendidikan tinggi negara. Di kesempatan ini juga, delegasi KPT akan turut melawat Tokyo University of Science, Katshusika Campus, Hasegawa Laboratory. Makmal yang memberi tumpuan kepada penyelidikan dan aktiviti akademik antaranya dalam bidang sains, kejuruteraan dan teknologi AI. Delegasi akan diberi pendedahan terhadap pengoptimuman sistem komunikasi tanpa wayar menggunakan AI.

Hasil lawatan ini diharapkan dapat melebarkan pengiktirafan terhadap keupayaan dan kualiti sektor pendidikan tinggi Malaysia, merancakkan pembinaan kapasiti, pemindahan ilmu dan penyelidikan ke arah memacu inisiatif pengantarabangsaan sektor pendidikan tinggi negara.

Kementerian Pendidikan Tinggi
16 FEBRUARI 2024

Muat Turun:

  pdf Siaran Media - Lawatan Kerja Menteri Pendidikan Tinggi Ke Jepun (17 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 4270
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.