English translation not available for this content.

logo kpt black

SIARAN MEDIA

FESTIVAL IDEA PUTRAJAYA KEMBALI UNTUK EDISI KETIGA, HIMPUNKAN IDEA,
INOVASI DAN ASPIRASI MASA HADAPAN MALAYSIA


Festival Idea Putrajaya (FOI) 2026 kembali untuk edisi ketiga penganjurannya pada 17 hingga 19 November ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dengan tema “Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani” yang menghimpunkan ahli akademik, pembuat dasar, pemain industri dan masyarakat bagi membincangkan hala tuju negara mendepani perubahan masa hadapan.

Dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), festival ini meneruskan kesinambungan penganjuran pada 2024 dan 2025 yang bertujuan mendekatkan idea serta pendidikan tinggi kepada masyarakat, meletakkan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi dan penyelidikan serta mengangkat budaya ilmu sebagai asas kemajuan negara.

Festival ini bakal disempurnakan perasmiannya oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, disusuli dengan program Himpunan Idea Mahasiswa Negara, iaitu ruang untuk mahasiswa menyuarakan pandangan, mengetengahkan idea serta berkongsi aspirasi mengenai hala tuju dan masa hadapan negara.

Selain itu, FOI 2026 turut membuka ruang perbincangan di peringkat antarabangsa menerusi penyertaan para Menteri Pendidikan Tinggi dari Filipina, Bangladesh, Kazakhstan, Indonesia, Türkiye dan Timor-Leste; selain beberapa orang Menteri serta Timbalan Menteri daripada Kementerian-kementerian lain bakal terlibat sebagai panelis forum dan pengisi sidang selari.

Selari dengan tema penganjuran, FOI 2026 mengangkat empat (4) persoalan strategik nasional berkaitan peranan kecerdasan buatan (AI), usaha menarik dan mengekalkan bakat tempatan, peranan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) melahirkan pembina negara menjelang 2040 serta penggunaan inovasi bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti dalam mendepani masyarakat menua.

Lebih 20 pengisian utama disusun menerusi tiga (3) kerangka, iaitu Explore, Challenge dan Translate, merangkumi Sidang Idea Malaysia (SIM), IdeaPulse serta persidangan dan bengkel dasar seperti ASEAN Higher Education Leadership Forum (ASHELF), University Network for Research Collaboration (iUNRC) dan Environmental, Social and Governance Summit (ESG Summit), selain meja bulat integriti bersama Elsevier.

Turut menjadi pengisian ialah Majlis Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Tinggi: Reka Bentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI), Pertandingan Digital Innovation Creativepreneur (DICE 4.0), Pertandingan University Social Enterprise Competition (USEC) serta Majlis Malaysia Scopus Research Star Awards.

Selain pengisian berbentuk wacana dan akademik, pengunjung turut berpeluang mengunjungi pelbagai pameran dan aktiviti termasuk Wall of Ideas, World of Tunnel, Pavilion KPT, pameran industri dan penyelidikan IPT, Mini Karnival Jom Masuk Universiti, perkhidmatan bergerak Hospital Pengajar Universiti (HPU), Ideas in Action: Edutainment & Innovation @ FOI, Ideatech: Innovation Showcase serta karnival kerjaya.

Sebagai hasil utama festival, Risalah Idea Malaysia yang mengandungi sekurang-kurangnya 10 agenda utama akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan tindakan lanjut pada Majlis Penutupan yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Orang ramai dijemput mengunjungi FOI 2026 yang berlangsung dari 17 hingga 19 November ini, bermula 9 pagi hingga 6 petang di PICC.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
10 NOVEMBER 2026

Muat Turun:

  pdf Siaran Media - Festival Idea Putrajaya Kembali untuk Edisi Ketiga, Himpunkan Idea, Inovasi dan Aspirasi Masa Hadapan Malaysia(181 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 131
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 10 November 2026, 10:27:55.

sirim-logo