English translation not available for this content.
logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

PROGRAM JOM MASUK U 2023 ZON SABAH


Program Jom Masuk U 2023 Zon Sabah yang bermula pada hari ini, 27 Mei 2023 sehingga esok, 28 Mei 2023 telah disempurnakan perasmiannya pada pagi ini oleh YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi di Kompleks Dewan Kuliah, Pusat ke-2, Universiti Malaysia Sabah (UMS). Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Penyelidikan dan Antarabangsa), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) yang turut menjalankan tugas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, KPT, YBrs. En. Ahmad Rizal Adnan; Naib Canselor UMS, YBhg. Datuk Prof. Dr. Kasim Hj. Mansor; dan Naib Canselor UniMAP, YBhg Prof. Dato' Dr. Zaliman Sauli.

Program Jom Masuk U merupakan program signature tahunan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang diadakan sebagai titik temu antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Awam dan Swasta dengan para pelajar sekolah, ibu bapa dan pendidik bagi mendapatkan panduan dan konsultasi ke menara gading.

Objektif utama pelaksanaan JMU 2023 ialah:

  • Menjadi Pusat Sehenti (One Stop Centre) bermaklumat kepada kumpulan sasaran seperti pemohon, ibu bapa, guru dan komuniti setempat untuk mendapatkan maklumat mengenai peluang pendidikan tinggi, akreditasi dan pembiayaan bagi lepasan SPM dan STPM/Setaraf;
  • Mendidik dan memupuk kesedaran dalam kalangan pemohon dan masyarakat awam mengenai pelaksanaan permohonan kemasukan ke IPTA dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) melalui aplikasi UPUOnline;
  • Menyampaikan maklumat mengenai pelaksanaan dasar pemilihan kemasukan ke IPTA yang mengguna pakai 90% markah akademik dan 10% markah kokurikulum; dan
  • Mempromosi serta menyebarluaskan maklumat mengenai program pendidikan baru yang ditawarkan oleh IPTA dan institusi lain.

Dalam ucapannya, YB Dato’ Haji Mohammad Yusof berkata, “pembangunan sistem pendidikan menjadi satu pelaburan yang bukan sahaja dapat menjamin kemakmuran negara tetapi juga melahirkan modal insan yang berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi pada masa akan datang”.

Tambah beliau lagi, KPT komited dalam usaha membantu mencapai hasrat Kerajaan melalui pelaksanaan inisiatif dan program yang memberi manfaat kepada pemegang taruh KPT khususnya, serta komuniti dan masyarakat secara amnya seperti Program Jom Masuk U ini.”

Pelbagai pameran dan acara menarik disediakan pada program ini antaranya reruai pameran akademik IPTA dan IPTS, agensi kewangan, pasukan beruniform, pemeriksaan kesihatan percuma, aktiviti bersama alumni UMS, jelajah kampus (campus tour), aktiviti bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS, pertandingan U Got Talent, cabutan bertuah, Cosplay, sesi konsultasi UPUOnline®, talk show IPTA dan IPTS.

Kementerian Pendidikan Tinggi
27 Mei 2023

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media JMU2023 Zon Sabah.pdf (88 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 5587
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 29 May 2024, 21:46:47.