English translation not available for this content.

logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

PENGAJIAN MELAYU MENJADI ARENA SEGALA KEPAKARAN TENTANG PELBAGAI PENCAPAIAN BANGSA MELAYU, PEMIKIRAN DUNIA MELAYU DAN KRISIS BANGSA MELAYU


  1. Saya telah menyampaikan satu syarahan bertajuk “Pemerkasaan Pengajian Melayu Untuk Pembinaan Negara & Pengisian Tuntutan Globalisasi” di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya hari ini.
  1. Dalam syarahan saya, saya telah kongsikan, antara lain, tiga (3) perkara. Pertama, pengajian Melayu mesti diangkat menjadi bidang dan disiplin ilmu yang strategik. Dalam hal ini, struktur sedia ada perlu dirombak, termasuklah membawa masuk pelbagai cendekiawan terbaik bangsa, menyemak kembali kurikulum serta melatih bakat terbaik untuk menjadikan disiplin pengajian ini, bidang yang penting dan strategik kepada negara.
  1. Pengajian Melayu perlu setara dengan bidang pengajian “Middle Eastern” atau Chinese Studies dan wajar menjadi arena segala kepakaran tentang pelbagai pencapaian bangsa Melayu, pemikiran dunia Melayu dan krisis bangsa Melayu.
  1. Kedua, pengajian Melayu mesti dilengkapkan dengan rangkaian sumbangan yang jelas dan terlihat kepada bangsa dan negara. Zaman ini adalah zaman yang sarat dengan cabaran yang menuntut keputusan yang dibuat bukan sahaja betul, tetapi radikal, kritikal dan strategik. Dalam menjadikan Pengajian Melayu kritikal, bernilai besar dan penting, disiplin ini mesti sentiasa menawarkan sumbangan yang jelas kepada bangsa dan negara.
  1. Ketiga, dalam usaha mengangkat Pengajian Melayu, Akademi Pengajian Melayu perlu mendekati mereka yang meletakkan kepentingan pengajian Melayu sebagai rukun perjuangan termasuklah meluaskan jaringan, memikat bakat baharu untuk memilih bidang ini, mendapatkan sumbangan infak dan wakaf yang berterusan serta mendekati mereka yang mempertahan dan menyokong pengajian Melayu.
  1. Justeru, dua (2) perkara telah disarankan. Pertama, cadangan untuk satu kertas khas disediakan oleh Universiti Malaya tentang ikhtiar membangun, memperkasa dan melestarikan Akademi Pengajian Melayu. Kertas ini bertujuan untuk merekayasa Akademi Pengajian Melayu, mengangkat martabatnya sebagai pusat ilmu terpenting untuk pengajian Melayu global serta menggantikan Leiden University dan School of Oriental and African Studies, University of London di Eropah. Kedua, cadangan penubuhan semula Kerusi Za’ba.
  1. Bagi menjayakan dua (2) saranan tersebut, satu peruntukan khas sebanyak RM500 ribu disumbangkan oleh Kementerian kepada Akademi Pengajian Melayu sebagai satu sumbangsih kepada usaha memartabatkan pengajian Melayu.
  1. Semoga dalam tempoh sedekad lagi, Akademi Pengajian Melayu akan menjadi pusat rujukan global untuk dunia Melayu dan pengajian Melayu akan menjadi satu disiplin ilmu yang semakin diminati, menjadi jurusan yang disegani dan menjadi pelaburan terbaik negara untuk masa depan.

DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

30 MEI 2023

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media Pengajian Melayu Menjadi Arena Segala Kepakaran Tentang Pelbagai Pencapaian Bangsa Melayu, Pemikiran Dunia Melayu Dan Krisis Bangsa Melayu.pdf (175 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 5182
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 02:51:53.