English translation not available for this content.

logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

MENTERI KPT KETUAI DELEGASI KE JCESTC DI RUSIA,
PERKUKUH DAN TEROKA PELUANG KERJASAMA
BAHARU

Saya telah mengetuai delegasi Malaysia di St. Petersburg, Rusia dalam Mesyuarat ke-3 Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia (JCESTC) bagi kerjasama ekonomi, saintifik, teknikal dan kebudayaan bersama-sama wakil Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pelancongan, Seni dan Warisan (MOTAC), Kementerian Pendidikan (KPM) serta Kementerian Digital.

Delegasi persekutuan Rusia diketuai oleh TYT Valery Falkov, Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi serta wakil daripada kementerian lain yang berkaitan.

Mesyuarat turut membincangkan beberapa perkara susulan daripada lawatan kerja YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Vladivostok pada awal September lalu. Ini juga berkisar hubungan dua hala antara Malaysia dan Rusia termasuklah cadangan meningkatkan kerjasama dalam pendidikan kedua-dua negara.

Kerajaan Rusia bersetuju untuk menambah bilangan biasiswa bagi pelajar Malaysia yang sebelum ini seramai 20 orang kepada 40 orang setahun selepas ini. Selain daripada pertukaran pelajar, program ini turut akan melibatkan para pensyarah, penyelidik dan juga penjawat awam untuk sama-sama meningkatkan kemahiran yang dimiliki oleh Malaysia dan Rusia.

Mesyuarat juga bersetuju untuk memperkemas semua dokumen dan perjanjian bersifat bilateral yang telah termeterai selama ini melibatkan kerjasama antara kementerian dan agensi.

Perkara lain yang turut dibincangkan ialah mengkaji dengan lebih mendalam bagi menyediakan perkhidmatan penerbangan secara terus dari Rusia ke Malaysia. Ini juga selari dengan usaha menarik lebih ramai pelancong Rusia ke Malaysia dan begitu juga sebaliknya.

Selain itu, antara perkara yang telah diberi penekanan dalam perbincangan tersebut adalah menubuhkan Kursi Pengajian Melayu di Rusia; kerjasama kewangan dan perbankan; serta keterjaminan makanan dan produk agrikultur. Dalam perkara ini, Malaysia mengalu-alukan kerjasama antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Kazan State Agrarian University (KSAU) bagi meneroka peluang untuk R&D prospek projek berkaitan.

Pihak Rusia turut membangkitkan beberapa perkara baharu yang boleh dibangunkan bersama iaitu kajian mendalam mengenai mineral yang dipelopori oleh Saint Petersburg Mining University yang mahu bekerjasama dengan universiti di Malaysia. Peluang ini akan digunakan sebaiknya memandangkan Saint Petersburg Mining University antara universiti terbaik di dunia dalam kajian mineral. Saya turut bersetuju dengan cadangan daripada Presiden Saint Petersburg Mining University untuk diadakan Dialog Mineral antara Rusia dan Malaysia dan insya-Allah ini akan diadakan pada tahun hadapan ketika mana Malaysia akan menjadi tuan rumah untuk JCESTC kali ke-4.

Isu halal turut dibangkitkan yang mana pihak Persekutuan Rusia sangat berharap agar Malaysia melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk membantu pengiktirafan sijil halal mereka. Dalam hal ini saya turut mencadangkan agar Halal Development Corporation (HDC) Malaysia dapat turut sama membantu.

Dalam isu pelaburan, kedua-dua negara bersetuju untuk menggalakkan peningkatan perdagangan dua hala dengan mengenal pasti peluang pasaran baharu, menambah baik akses pasaran, dan memudahkan pelaburan langsung. Memandangkan tenaga terus memacu ekonomi kita, mesyuarat bersetuju agar kerjasama dalam kedua-dua sektor tenaga tradisional dan boleh diperbaharui. Ini termasuk menggalakkan inovasi dalam teknologi tenaga bersih, sejajar dengan matlamat kemampanan kedua-dua negara.

Mesyuarat ini berjaya mewujudkan satu persefahaman setara antara pihak Malaysia dan Rusia. JCESTC kali ke-3 berjaya mengukuhkan lagi hubungan mesra dan strategik antara Rusia dan Malaysia. Persetujuan yang dicapai semasa mesyuarat ini meletakkan asas untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai sektor, termasuk kewangan, pertanian, pendidikan, dan kemajuan teknologi.

Rusia juga bersetuju untuk membantu Malaysia dalam bidang pembangunan teknologi serta inovasi berkaitan dan memperbanyakkan lagi program pertukaran tenaga mahir antara kedua- dua negara. Tambahan pula, Malaysia akan menggalas tugas Kepengerusian ASEAN pada tahun 2025 dan ini diharap dapat membentuk lebih banyak kerjasama baharu antara Malaysia dan Rusia dalam pelbagai bidang. Antara tumpuan utama adalah lebih banyak kajian berimpak tinggi dapat dihasilkan dengan kerjasama antara universiti, politeknik kedua-dua negara dan seterusnya memberi faedah kepada hubungan Malaysia dan Rusia.

Saya dan rakan sejawatan turut menyaksikan MoU bioteknologi antara Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) dan Federal Research Center, Kazan Scientific Center of the Russian Academy of Sciences yang akan menghubungkan lebih banyak kajian khusus bioteknologi yang terkini.

Saya turut dibawa melawat ke Universiti St. Petersburg iaitu universiti tertua di Rusia yang berusia 300 tahun dan telah melahirkan 9 orang pemenang Nobel. Universiti ini juga terkenal dengan bidang kecerdasan buatan (AI) dan kolaborasi dengan beberapa universiti di Malaysia akan dilaksanakan. Ini termasuk kerjasama dalam bidang Pengajian Melayu yang sedang dipelopori oleh universiti ini.

DATO’ SERI DIRAJA DR. ZAMBRY ABD KADIR
10 Oktober 2024

Muat Turun:

  pdf Kenyataan Media - Menteri KPT Ketuai Delegasi Ke JCESTC Di Rusia, Perkukuh Dan Teroka Peluang Kerjasama Baharu(121 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 5714
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 24 March 2025, 04:31:56.

sirim-logo