English translation not available for this content.

logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

LAWATAN KERJA MENTERI PENDIDIKAN TINGGI KE UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA (UTM)


  1. Saya telah mengadakan lawatan kerja ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 6 Februari 2023. Lawatan ini merupakan lawatan kerja ke Universiti Awam kelima saya selepas Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
  1. Sebagai sebuah universiti yang berasaskan teknologi, adalah menjadi hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk melihat UTM menjadi peneraju dalam perkara-perkara yang melibatkan transformasi pendigitalan (digital transformation).
  1. Saya percaya peranan yang boleh dimainkan UTM ini sangat penting dalam meningkatkan kebolehsaingan serta melonjakkan pembangunan ekonomi negara dalam bidang yang berasaskan inovasi, selari dengan misi UTM untuk menjadi sebuah universiti yang menginovasi penyelesaian.
  1. Sebagai sebuah universiti penyelidikan, hasil penyelidikan UTM akan dapat membantu penambah baikan kurikulum pendidikan tinggi, membantu negara dalam penetapan dasar dan polisi, menjadi asas kepada perbincangan masyarakat serta menyumbang kepada masyarakat dan negara.
  1. Saya percaya bahawa UTM mempunyai kekuatan tersendiri dalam kerjasama melibatkan industri dan berupaya untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa di Malaysia melalui kualiti pendidikan yang ditawarkan.
  1. Pada masa yang sama, UTM perlu untuk meningkatkan keterlihatan dan sumbangannya serta meluaskan rangkaian antara universiti dan industri yang berasaskan teknologi.
  1. KPT turut mengucapkan tahniah atas kejayaan UTM mencapai peratusan kebolehpasaran graduan yang tertinggi di Malaysia sebanyak 97.9% dan peratusan graduan yang memperoleh gaji premium (melebihi RM4,000) sebanyak 31% pada tahun 2022.
  1. Bagi pihak KPT, saya memberikan sokongan penuh kepada UTM untuk terus melahirkan graduan-graduan yang diperlukan negara dan meningkatkan keberhasilan penyelidikan. Saya menaruh harapan yang besar untuk UTM menjadi lebih cemerlang agar imej pendidikan tinggi negara dapat dilonjakkan.

DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

6 FEBRUARI 2023

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media (Lawatan Kerja ke UTM) 6-2-2023.pdf (78 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 6332
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.