English translation not available for this content.

logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

LAWATAN KERJA MENTERI PENDIDIKAN TINGGI KE TOKYO DAN
OSAKA TINGKATKAN KERJASAMA MALAYSIA-JEPUN


Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah mengadakan lawatan kerja ke Tokyo dan Osaka atas jemputan Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA) bermula 28 Julai hingga 30 Julai 2025. Lawatan ini bertujuan memperkukuh kerjasama strategik Malaysia-Jepun dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan, inovasi, dan teknologi.

Antara pengisian utama lawatan ini termasuk:

1. Pertemuan Dua Hala dengan Pemimpin dan Tokoh Pendidikan Jepun
YB Menteri telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Majlis Penyelidikan Dasar Parti Demokratik Liberal (LDP) Jepun dan bekas Menteri Pendidikan, Budaya, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun, Koichi Hagiuda. Perbincangan menyentuh pelbagai isu strategik berkaitan cabaran universiti masa kini serta potensi kerjasama dalam bidang inovasi dan ekonomi kreatif (orange economy).

2. Lawatan ke Universiti Tokyo – Tumpuan kepada AI Startup
YB Menteri turut melawat Universiti Tokyo dan diberi taklimat tentang program AI Startup yang dibangunkan khusus untuk pelajar prasiswazah dan pascasiswazah. Program ini telah melahirkan ramai pelajar yang berjaya membina syarikat pemula niaga (startup) berasaskan AI dengan pendapatan tinggi dalam bidang masing-masing. Inisiatif ini dipacu oleh Matsuo Lab Startup, yang menyediakan bimbingan mentor, ekosistem keusahawanan, dan akses kepada teknologi terkini. YB Menteri menyatakan bahawa ini merupakan satu model yang wajar diteroka dan disesuaikan untuk pelaksanaan di Malaysia bagi memperkasakan mahasiswa sebagai pencipta nilai dalam ekonomi masa depan.

3. Lawatan ke Institusi Penyelidikan Terkemuka Jepun – AIST, Tsukuba
Lawatan ke National Institute of Advanced Industrial Science and Technology (AIST) memberi peluang kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meninjau teknologi terkini dalam bidang semikonduktor, AI dan pengkomputeran kuantum. YB Menteri turut menekankan kerjasama antara AIST dan institusi penyelidikan Malaysia seperti MIMOS, UPM dan USM

4. Perbincangan bersama Presiden Universiti Tsukuba
Dalam pertemuan dengan Presiden Universiti Tsukuba, Prof. Kyosuke Nagata, perbincangan memfokuskan kepada pengukuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia dan perluasan program ke tahap lebih tinggi, termasuk kerjasama dalam bidang High-TVET.

5. Pertemuan bersama Pelajar Malaysia di Tokyo
YB Menteri turut berpeluang bertemu dengan pelajar-pelajar pascasiswazah Malaysia di Tokyo. Dalam sesi santai sambil makan tengah hari, beliau mendengar sendiri pengalaman dan aspirasi mereka sebagai duta kecil negara. KPT menegaskan komitmen berterusan terhadap kebajikan dan sokongan kepada pelajar Malaysia di luar negara.

6. Rundingan Awal dengan Soka University
Perbincangan awal YB Menteri bersama Dekan Pusat Kajian Malaysia, Universiti Soka, Prof. Ichiro Sugimoto membuka peluang baharu untuk memperluaskan lagi pusat kajian ini dan juga beberapa kajian berkaitan perbandingan agama serta mewujudkan kerjasama penyelidikan antara Universiti Soka dan universiti tempatan.

7. Jalinan Strategik Bersama Kaneka dalam Inovasi dan Penyelidikan
Di Osaka, YB Dato’ Seri Diraja Dr Zambry berkesempatan melawat Kaneka Osaka Plant, sebuah pusat penyelidikan dan pengeluaran berteknologi tinggi yang berperanan penting dalam pembangunan bahan kimia dan bioteknologi terkini. Beliau turut berpeluang bertemu dengan Pengerusi Kaneka Corporation, Kimikazu Sugawara dan Naib Presiden, Dr. Mamoru Kadokura di mana perbincangan berfokus kepada potensi kerjasama antara Kaneka dan institusi pengajian tinggi Malaysia, khususnya dalam bidang penyelidikan bahan termaju, bio-teknologi, dan tenaga hijau. YB Menteri turut membincangkan kemungkinan pertukaran penyelidik dan pelajar antara Malaysia dan Jepun bagi memperkukuh pertumbuhan bakat dalam bidang berteknologi tinggi.

8. Ekspo Osaka: Platform Strategik Promosi Pendidikan Tinggi Malaysia
YB Menteri juga sempat menjenguk ke Pavilion Malaysia di Ekspo Osaka yang sedang berlangsung. Minggu Pendidikan Tinggi baru saja berlabuh tirai pada 26 Julai 2025 lalu di ekspo ini dan bertemakan ‘Study in Malaysia’, KPT telah menerima 100,000 pengunjung dalam tempoh enam hari, sekali gus membuktikan sambutan luar biasa terhadap penyertaan Malaysia di pentas antarabangsa. Ekspo berkenaan, yang dianjurkan setiap lima tahun, melibatkan penyertaan 158 buah negara dengan kehadiran jutaan pengunjung dari seluruh dunia.

Lawatan ini mencerminkan kesungguhan Malaysia untuk terus meneroka kerjasama strategik dengan negara maju seperti Jepun demi memacu kecemerlangan pendidikan tinggi negara, selaras dengan pembangunan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035 yang sedang dirangka. Penekanan kepada bidang keusahawanan teknologi, AI, dan TVET berimpak tinggi adalah antara teras utama dalam memastikan mahasiswa Malaysia bersedia menyertai ekonomi masa hadapan yang dipacu inovasi.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
31 JULAI 2025

Muat Turun:

 Kenyataan Media - Lawatan Kerja Menteri Pendidikan Tinggi ke Tokyo Dan Osaka Tingkatkan Kerjasama Malaysia-Jepun

  • Last updated on .
  • Hits: 5211
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 September 2025, 04:30:59.

sirim-logo