English translation not available for this content.

logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

KPT SANTUNI PELAJAR TERJEJAS KEBAKARAN DAN BANTU PELAJAR BAHARU DI SABAH


Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir hari ini telah menziarahi keluarga para pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang terjejas dalam tragedi kebakaran di Kampung Numbak, Kota Kinabalu pada 30 Ogos lalu.

Dalam kunjungan tersebut, beliau menyantuni para pelajar dan keluarga mereka serta meninjau keadaan dan keperluan semasa mangsa yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda akibat kebakaran berkenaan.

Seramai 9 orang pelajar daripada enam (6) IPT terjejas dalam kejadian tersebut, melibatkan Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), North Borneo University College (NBUC), UNITAR Kota Kinabalu dan Goon International University College (GIUC).

Sebagai bantuan awal, setiap pelajar menerima sumbangan sebanyak RM3,000 daripada Yayasan Perkasa Siswa (YPS). Selain itu, IPT yang terlibat turut menyalurkan bantuan tambahan berdasarkan keperluan pelajar masing-masing.

“Musibah ini bukan sahaja menyebabkan kehilangan harta benda, malah memberikan kesan emosi kepada pelajar dan keluarga. Kehadiran kami adalah untuk memastikan mereka tidak berasa bersendirian ketika melalui saat yang sukar ini.

“Keutamaan Kementerian adalah untuk memastikan kebajikan dan pengajian mereka terus terpelihara. Kesusahan yang dihadapi tidak seharusnya menjadi penghalang kepada mereka untuk meneruskan pengajian dan membina masa depan,” kata YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry.

Beliau turut meminta pihak IPT terlibat memantau keadaan setiap pelajar serta menyediakan bantuan susulan, termasuk kemudahan penginapan, keperluan pembelajaran, sokongan kewangan dan khidmat psikososial sekiranya diperlukan.

Dalam lawatan yang sama, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry turut menziarahi kediaman dua (2) pelajar baharu, Nur Kyra Alya binti Mohamad Mekah, yang bakal melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS), dan Norsarina binti Abdullah, bakal pelajar program Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu dengan Kepujian di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Kedua-dua pelajar berkenaan datang daripada keluarga yang berhadapan kesukaran kewangan dan mempunyai kekangan untuk membuat persediaan serta mendaftar masuk ke universiti.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama YPS telah menghulurkan bantuan kewangan kepada kedua-dua pelajar tersebut. UMS dan UPM pula akan membantu dari segi persediaan serta keperluan pendaftaran bagi memastikan mereka dapat memulakan pengajian dengan lancar.

“Anak-anak ini telah memperoleh peluang untuk melanjutkan pengajian. Jangan biarkan masalah kewangan, kos perjalanan atau kekurangan persediaan menyebabkan mereka terpaksa melepaskan peluang tersebut.

“Jika ada kekangan, maklumkan segera kepada universiti atau Kementerian. Kita akan berusaha mencari jalan supaya mereka dapat masuk ke universiti dan meneruskan pengajian,” kata beliau.

Inisiatif ini selaras dengan pendekatan yang diterapkan oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry agar Kementerian, universiti dan seluruh ekosistem pendidikan tinggi lebih tangkas mengenal pasti serta membantu pelajar yang berhadapan kesulitan.

Pendekatan tersebut menekankan bahawa setiap pelajar yang layak melanjutkan pengajian perlu diberikan bantuan segera dan bersesuaian agar faktor kemiskinan, musibah keluarga atau kekangan logistik tidak menutup pintu pendidikan tinggi kepada mereka.

“Keluarga besar pendidikan tinggi mesti hadir ketika mahasiswa memerlukan. Kita bukan sekadar membuka pintu universiti, tetapi perlu membantu mereka melangkah masuk dan memastikan mereka mampu meneruskan pengajian dengan baik,” katanya.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
21 SEPTEMBER 2026

Muat Turun:

  pdf Kenyataan Media – KPT Santuni Pelajar Terjejas Kebakaran dan Bantu Pelajar Baharu di Sabah(158 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 96
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 21 September 2026, 09:14:59.

sirim-logo