English translation not available for this content.

logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI ERATKAN KERJASAMA BERSAMA PIHAK SWASTA BAGI MELUNCURKAN AGENDA KEUSAHAWANAN SISWA DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN


PUTRAJAYA, 31 JULAI 2023 - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan XoX Berhad dan VMR Three Sdn Bhd bagi program keusahawanan MySiswa serta dengan Wawasan Jaya Elite Sdn Bhd dalam bidang kebolehpasaran graduan selari dengan Lonjakan 1, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) bagi melahirkan graduan yang holistik, berciri keusahawanan dan seimbang.

Pemeteraian MoU pada hari ini yang melibatkan pelajar-pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) merangkumi universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) merupakan refleksi komitmen serta sokongan berterusan Kementerian dalam menjayakan pelaksanaan kedua-dua inisiatif keusahawan siswa dan kebolehpasaran graduan bagi memenuhi aspirasi pemerkasaan mahasiswa yang didukung oleh KPT serta menjana pendapatan sampingan bagi membantu mahasiswa mendepani cabaran kos sara hidup.

Program Keusahawanan MySiswa yang akan dilaksanakan dengan kerjasama XoX Berhad dan VMR Three Sdn Bhd bakal menawarkan manfaat keperluan mahasiswa serta meningkatkan penglibatan mereka dalam bidang keusahawanan berkaitan telekomunikasi dan digital. Program ini memberi manfaat secara terus kepada mahasiswa, termasuk penawaran pakej perkhidmatan telekomunikasi dengan kadar yang berpatutan kepada mahasiswa, akses kepada internet dan jalur lebar berkelajuan tinggi, perkongsian data hotspot tanpa had, platform e-dagang dilengkapi kemudahan e-wallet dengan tawaran peralatan keperluan mahasiswa, jualan makanan dan minuman melalui smart vending machine serta perolehan mata ganjaran melalui loyalti programme.

Kerjasama dengan Wawasan Jaya Elite Sdn. Bhd. akan menerokai program yang berkaitan dengan pemadanan kerja graduan yang bersesuaian dengan kelayakan, penyediaan syarikat untuk latihan industri dengan elaun yang bersesuaian serta menggalakkan jaminan pekerjaan kepada graduan yang sedang menjalani latihan industri.

KPT berharap melalui kerjasama ini mampu membuka ruang untuk menjayakan inisiatif yang selari dengan hala tuju strategik KPT.

Kementerian Pendidikan Tinggi
31 Julai 2023

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media KPT Eratkan Kerjasama Bersama Pihak Swasta Bagi Meluncurkan Agenda Keusahawanan Siswa Dan Kebolehpasaran Graduan.pdf (38 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 10133
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 12 July 2024, 03:02:21.