Ziarah Kasih KPT Prihatin: Kerajaan Salur Bantuan RM10,000 Kepada Keluarga Mangsa Terkorban Nahas Bas UPSI

Ziarah Kasih KPT Prihatin: Kerajaan Salur Bantuan RM10,000 Kepada Keluarga Mangsa Terkorban Nahas Bas UPSI
English translation not available for this content.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus menzahirkan keprihatinan terhadap keluarga mangsa nahas bas yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tempohari menerusi program Ziarah Kasih KPT Prihatin di sekitar Jerteh, Terengganu hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, KPT dengan kerjasama UPSI telah berjaya mengumpulkan hampir RM1.7 juta hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk individu, syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta agensi kerajaan.

“Agihan sumbangan ini akan diselaraskan oleh pihak UPSI bersama Ketua Setiausaha KPT dan akan dipercepatkan pelaksanaannya,” katanya dalam sidang media yang diadakan di salah sebuah kediaman mangsa.

YB Menteri turut menyatakan bahawa Kerajaan mengambil serius insiden tersebut dan akan menyiasat segala kemungkinan termasuk aspek pengurusan pengangkutan pelajar serta kecuaian pemandu yang terbabit.

“Kita tidak boleh berdiam diri terhadap tragedi yang meragut 15 nyawa ini. Langkah-langkah tegas perlu diambil agar kejadian seumpama ini tidak berulang.

“KPT juga sedang meneliti cadangan berkaitan larangan perjalanan waktu malam serta penggunaan perkhidmatan bas luar oleh pelajar, dan akan mengeluarkan garis panduan baharu dalam masa terdekat,” katanya.

Pada program siang tadi, YB Menteri telah mengadakan ziarah ke lima (5) buah rumah mangsa di sekitar Jerteh.

Turut serta dalam lawatan ini ialah Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim; Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff; Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), YBrs. Prof. Ir. Ts. Dr. Arham Abdullah; Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Dato’ Dr. Fadzli Adam; dan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri.

Lima (5) rumah yang diziarahi termasuk kediaman keluarga Allahyarham Nurly Syahirah Azman di Kg. Gong Pasir Kerandang dan Allahyarham Nor Ayuni Maslan di Felda Tenang, yang kedua-duanya terkorban dalam nahas tersebut.

Lawatan turut dibuat ke rumah pelajar yang cedera, iaitu Tuan Adham Tuan Adnan di Kampung Alur Keladi, Nik Khairulnisa Ruzmi di Taman Durian Bongkok serta Nurul Farhana Ab Aziz di Kampung Padang Luas. 

  • Last updated on .
  • Hits: 85
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 15 July 2025, 07:22:36.

sirim-logo