Jejak Dermasiswa Kota Belud: KPT Santuni Anak B40 Sampai Ke Pintu Rumah

Jejak Dermasiswa Kota Belud: KPT Santuni Anak B40 Sampai Ke Pintu Rumah
English translation not available for this content.

“Saya tak pernah sangka ada orang datang serah surat tawaran sampai ke rumah. Saya dan ibu terkejut dan sangat bersyukur. Sekurang-kurangnya saya tahu ada bantuan disediakan dan saya lebih yakin untuk sambung belajar.”

Itulah luahan Siti Nurul Heznih Saibi, pelajar Asasi Teknologi Maklumat di Universiti Malaysia Sabah (UMS), seorang daripada 16 pelajar B40 yang menerima Surat Tawaran Kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) berserta dermasiswa secara langsung daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi program Jejak Dermasiswa Kota Belud siang tadi.

Turut berkongsi rasa syukur ialah Siti Nurfarrahin Madlin, yang menerima tawaran ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam program Diploma Pengajian Perbankan.

“Saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang hadir dan membantu. Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh demi keluarga dan masa depan saya,” katanya.

Majlis penyerahan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud yang memaklumkan bahawa ramai pelajar tidak menyedari mereka ditawarkan tempat bersama bantuan kewangan kerana kelayakan ditentukan secara automatik melalui padanan data.

Antara bantuan yang disediakan termasuk Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM1,500, Dermasiswa B40 oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bernilai RM4,800 bagi satu semester serta sumbangan tunai RM500 daripada Yayasan Perkasa Siswa (YPS) kepada setiap pelajar yang diziarahi.

Daripada 25 pelajar yang dikenal pasti layak di Kota Belud, hanya lapan mengesahkan penerimaan manakala 16 lagi dijejaki secara rumah ke rumah dalam program ini.

Kota Belud dipilih sebagai lokasi perintis kerana statusnya sebagai antara daerah miskin tegar di Sabah, dan pendekatan ini akan diperluaskan ke kawasan lain termasuk di Parlimen Sepanggar.

Inisiatif ini turut disertai oleh Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) seperti UMS, UiTM, Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) serta agensi-agensi di bawah KPT seperti PTPTN dan YPS.

Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Belud dan JPA turut menjayakan pelaksanaan program ini melalui kerjasama rentas agensi.

KPT yakin usaha menyantuni pelajar luar bandar ini akan mengurangkan jurang akses kepada pendidikan tinggi dan memperkukuh pembangunan modal insan negara, selaras dengan agenda Pendidikan Tinggi Pemacu Negara MADANI. 

  • Last updated on .
  • Hits: 155
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 15 July 2025, 07:22:36.

sirim-logo