Za'ba: Tokoh Pemikir Terkedepan Perjuang Isu Sosioekonomi Masyarakat Melayu

Za'ba: Tokoh Pemikir Terkedepan Perjuang Isu Sosioekonomi Masyarakat Melayu
English translation not available for this content.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menjadi pentas bagi majlis Syarahan Za’ba: Seabad Pemikir Kemiskinan serta sambutan Hari Akademia Negara 2024 yang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, pagi tadi.

Acara yang penuh bersejarah ini telah menghimpunkan para intelektual dan akademia dari seluruh negara secara fizikal dan juga atas talian untuk memperingati tokoh besar Melayu, Za'ba, yang dikenali sebagai pemikir terkemuka dan terkedepan dalam memperjuangkan isu sosioekonomi, politik, dan bahasa masyarakat Melayu.

Dalam ucapannya, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menekankan betapa pentingnya mengenang sumbangan Za'ba yang telah lama memperjuangkan isu kemiskinan.

"Za'ba menyedarkan kita mengenai ketidakseimbangan sosial dan ekonomi. Beliau pernah berkata, 'Melayu adalah suatu kaum yang sangat miskin,' merujuk bukan sahaja kepada kemiskinan harta benda, tetapi juga kepada pendidikan dan sikap," ujar YB Menteri.

Beliau turut mengaitkan pemikiran Za'ba dengan keadaan semasa, menyatakan bahawa kemiskinan bukan sahaja berbentuk material tetapi juga intelektual, selari dengan pandangan tokoh sosiologis terkenal, Dr. Ali Syariati.

"Poverty is not a night you spend without food, poverty is a day you spend without thinking," kata YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry, mengingatkan bahawa cabaran mentaliti dan minda juga perlu diberi perhatian.

Hari Akademia Negara 2024 juga disambut pada hari yang sama, di mana YB Dato' Seri Zambry mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Akademia kepada semua ahli akademik di Malaysia.

"Semoga ilmu yang disampaikan dapat terus memajukan masyarakat dan membantu mengatasi kemiskinan minda," katanya.

YAB Perdana Menteri dalam ucapannya turut memberi penghargaan kepada para akademia yang telah memberi sumbangan besar dalam dunia pendidikan negara, mengukuhkan peranan mereka sebagai tunjang pembangunan masyarakat dan negara.

Justeru, pada majlis tadi juga beliau telah turut berbesar hati untuk menganugerahkan Tokoh Akademia Negara Sepanjang Zaman kepada Allahyarham Za'ba, yang diterima oleh cucunya, Dr. Sharzede Datuk Salleh Askor.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; dan Ketua Setiausaha KPT, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang. 

  • Last updated on .
  • Hits: 1797
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 12 February 2025, 10:29:14.

sirim-logo