YBTM Rasmi Penutupan Bulan Nutrisi Malaysia (NMM) Peringkat IPT Sabah Di UMS

YBTM Rasmi Penutupan Bulan Nutrisi Malaysia (NMM) Peringkat IPT Sabah Di UMS
English translation not available for this content.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud telah menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Bulan Nutrisi Malaysia (Nutrition Month Malaysia - NMM) 2024 Peringkat Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Sabah di Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) pagi tadi.

NMM yang dianjurkan FSMP, UMS ini merupakan salah satu aktiviti sempena sambutan Jubli Mutiara 30 tahun UMS dan dianjurkan secara bersama dengan Kelab Pelajar Pemakanan UMS, Majlis Kelapa Sawit Malaysia (Malaysian Palm Oil Council - MPOC), Persatuan Pemakanan Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, dan lain-lain lagi.

Menurut YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, penglibatan pelajar secara langsung dapat memberi nilai tambah serta mengukuhkan pengetahuan pelajar, selain sebagai galakan kepada mereka untuk terus bergiat aktif dalam aktiviti yang dianjurkan oleh universiti.

Hal ini adalah sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mahu melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud juga turut melancarkan makmal hidup, 'Living Lab Nutrition in Community Engagement' (NICE) yang merupakan pendekatan pendidikan yang dilaksanakan melalui kursus akademik berkredit program pemakanan yang menggabungkan pembelajaran akademik dengan perkhidmatan komuniti.

Ia membolehkan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pemakanan dengan Kepujian mengaplikasi apa yang mereka pelajari di dalam kelas kepada situasi kehidupan sebenar sepanjang empat tahun pengajian mereka, sekali gus memberi kesan positif kepada komuniti.

Turut hadir, Naib Canselor UMS, YBhg. Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, Pegawai-Pegawai Utama dan Kanan UMS serta Dekan FSMP YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Hasmadi bin Mamat. 

  • Last updated on .
  • Hits: 456
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.