YBM Rasmi Karnival Penyelidikan Universiti Malaya (UMRC) 2022

YBM Rasmi Karnival Penyelidikan Universiti Malaya (UMRC) 2022
English translation not available for this content.

YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi telah merasmikan Karnival Penyelidikan Universiti Malaya (UMRC) 2022 yang telah diadakan bermula 8 hingga 10 Januari bertempat di Kompleks Pengurusan Penyelidikan & Inovasi UM pagi tadi.

Karnival yang mempamerkan inovasi dan rekacipta hasil dari penyelidikan yang berasaskan industri dan komuniti itu diisi dengan pelbagai program seperti Ignite The Big Ideas (Startups Pitch), MyUM Pitch (Kategori Pensyarah), MyUM Rising Star (Kategori Pelajar).

Dalam ucapannya, beliau menyeru semua IPT untuk memperhebat bidang penyelidikan dan inovasi mereka agar dapat menjadi nadi penting yang menyumbang kepada penerokaan ilmu serta pengkomersilan teknologi maju bagi mendepani cabaran ekonomi global yang semakin mencabar.

Beliau juga mengingatkan IPT bahawa semua penyelidikan yang dibuat mestilah relevan dan selari di samping mencipta pelbagai solusi nasional yang sesuai dengan keperluan strategik bangsa dan negara demi membangunkan sebuah masa depan yang lestari dan makmur.

Pada majlis yang sama, beliau telah turut menyaksikan penganugerahan pensijilan akreditasi ISO27001:2013 (ISMS) oleh SIRIM kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang telah berjaya membangunkan sebuah Pusat Kawalan Kesihatan Berpusat (UMMC Health Command Center) yang pertama seumpamanya di Malaysia bagi menyelaras secara sistematik tugasan pemantauan dan pengurusan operasi perkhidmatan kesihatan secara menyeluruh.

Turut sama YBhg. Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, TKSU (Dasar) KPT, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Husaini Omar, KPPT, YBhg. Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor, Naib Canselor UM, YBhg. Tan Sri Zarinah Anwar, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya, YBhg. Prof. Ir. Dr. Shaliza Ibrahim, TNC (Penyelidikan & Inovasi) UM, serta Prof. Dr. Nazirah Hasnan, Pengarah PPUM.

  • Last updated on .
  • Hits: 4340
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 July 2024, 10:52:23.