YB Timbalan Menteri Santuni Keluarga Allahyarham Muhammad Akmal, Pelajar UiTM Dungun Maut Dirempuh SUV

YB Timbalan Menteri Santuni Keluarga Allahyarham Muhammad Akmal, Pelajar UiTM Dungun Maut Dirempuh SUV
English translation not available for this content.

Pada malam 9 Oktober lalu, negara digemparkan dengan tragedi menyayat hati apabila empat (4) pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun telah dirempuh oleh sebuah kenderaan SUV di hadapan kampus Sura Hujung lalu mengorbankan tiga (3) pelajar iaitu Muhammad Akmal Md Tukirin; Khairil Anwar Jamaludin; dan Ku Adib Aizad Ku Azmi.

Keluarga Allahyarham Muhammad Akmal, 25 (pelajar Sarjana Muda Pengurusan Perkhidmatan Makanan) terutamanya bapa, Md Tukirin Saringat dan ibu, Rafeah Buang, masih terkejut menerima berita tersebut, apatah lagi mereka baru sahaja menghantarnya kembali ke kampus seminggu yang lalu.

Sebak dan luluh, harapan serta impian yang disemai untuk masa depan anak muda ini hancur sekelip mata meninggalkan seluruh ahli keluarga dalam kehibaan, namun reda dengan ketentuan Ilahi.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud yang dalam perjalanan ke Johor Bahru petang semalam berkesempatan menyantuni keluarga Allahyarham di Muar.

Beliau telah menitipkan ucapan takziah dan dukacita, mewakili YB Menteri yang sedang dalam rangka lawatan kerja di Rusia serta seluruh warga Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Dalam menyantuni mereka, beliau turut memberikan kata-kata semangat yang turut berharapkan agar terbit hikmah daripada dugaan berat yang menimpa semua ahli keluarga mangsa ketika ini.

Pada kunjungan tersebut, YB Timbalan Menteri telah turut menyampaikan sumbangan khairat kematian daripada Yayasan Perkasa Siswa (YPS) di bawah KPT sebagai tanda keprihatinan kepada keluarga Allahyarham.

Terdahulu, UiTM dan YPS telah melayat serta membantu dalam pengurusan jenazah ketiga-tiga mangsa sejak awal kejadian sehingga selamat dikebumikan, termasuklah menyampaikan sumbangan kewangan bagi meringankan beban waris.

KPT bersama UiTM dan YPS turut bersedia memberikan sokongan moral serta bantuan yang diperlukan oleh kesemua ahli keluarga waris kelak.

Hadir sama Rektor UiTM Johor, Prof. Madya Dr. Saunah Zainon; pegawai-pegawai KPT; dan wakil dari YPS. 

  • Last updated on .
  • Hits: 991
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 07 February 2025, 01:24:25.

sirim-logo