YB Timbalan Menteri Rasmi Penutup Program KARISMA Pemikir MADANI Pengurusan Tertinggi UKM

YB Timbalan Menteri Rasmi Penutup Program KARISMA Pemikir MADANI Pengurusan Tertinggi UKM
English translation not available for this content.

"Sebagai sebuah negara yang kaya dengan warisan budaya, identiti, dan sejarah yang unik, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan bahawa pembangunan teknologi dan inovasi ini tidak mengenepikan prinsip-prinsip asas yang membentuk jati diri bangsa Malaysia.

Inilah tanggungjawab besar yang terletak di bahu kita, khususnya di bahu institusi pendidikan tinggi, untuk melahirkan generasi pemimpin yang mampu memacu negara ke hadapan tanpa mengabaikan identiti dan nilai-nilai kebangsaan", ucap Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud sewaktu menyempurnakan majlis penutupan Program Karisma Pemikir MADANI Pengurusan Tertinggi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) siang tadi.

Setelah tiga (3) hari bermukim di ibu negara, kira-kira 500 orang peserta yang terdiri daripada kepimpinan tertinggi UKM tersebut telah memenuhi agenda penganjuran yang bermatlamat untuk memperkasakan hala tuju institusi itu selaras dengan agenda Malaysia MADANI serta UKM sebagai Pembina Masa Depan Negara Bangsa.

Dianjurkan oleh Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dengan kerjasama UKM, program KARISMA telah disusun dengan sesi-sesi dialog dan perkongsian oleh barisan panel yang berwibawa dan berpengalaman dalam aspek kenegaraan bagi menyebarluaskan kefahaman dan penghayatan falsafah MADANI.

Dalam ucapannya, YB Timbalan Menteri mengajak para peserta berganding bahu dalam memastikan bahawa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan terus memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan negara, dengan menjadikan identiti nasional sebagai tunjang kepada segala usaha inovasi dan pembangunan.

Malah, beliau turut yakin bahawa segala perbincangan dan idea-idea yang dikemukakan serta resolusi yang dibangunkan dalam program ini dapat memberikan sumbangan yang bermakna ke arah membina universiti yang benar-benar berteraskan negara bangsa dalam era Revolusi Industri Ke-4.

"UKM juga harus terus menggalakkan pembangunan modal insan berteraskan kebangsaan dengan terus memainkan peranan dalam membangunkan modal insan yang mempunyai kemahiran teknologi tinggi tetapi juga nilai-nilai kebangsaan yang kukuh, termasuklah program pembangunan kepimpinan yang menekankan kepentingan identiti negara bangsa dalam konteks global", ujar beliau.

Tambah beliau lagi, "penting untuk UKM merancang masa depan universiti dengan mengambil kira cabaran dan peluang yang dibawa oleh arus pendigitalan, malah perlu bersedia untuk menjadi lebih fleksibel dan adaptif, sambil terus memastikan bahawa nilai-nilai negara bangsa tetap menjadi asas dalam setiap keputusan dan strategi yang diambil".

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato' Dr. Mohamad Abd. Razak; serta Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman; serta Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia, Haji Mohd Haswandi Haji Ahmad. 

  • Last updated on .
  • Hits: 1403
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 06 December 2024, 10:19:49.

sirim-logo