YB Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Santuni Dan Serah Surat Tawaran Program Sulung 2.0 Kepada Pelajar UNIMAS

YB Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Santuni Dan Serah Surat Tawaran Program Sulung 2.0 Kepada Pelajar UNIMAS
English translation not available for this content.

Bersempena kemasukan pelajar baharu universiti awam bagi Sesi Akademik 2023/2024 yang bermula pada September 2023, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Haji Mohammad Yusof Apdal telah menyantuni seorang pelajar baharu Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Saudari Cressentia Paul dengan melakukan ziarah dan menyerahkan surat tawaran Program SULUNG 2.0 kepada beliau pada pagi ini di rumah keluarga beliau di Kampung Limbahau, Papar, Sabah.

Sesi ziarah ini turut disertai oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UNIMAS, YBhg. Prof. Ir. Ts. Dr. Al-Khalid Haji Othman; dan Pengarah Negeri Sabah, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Puan Muliati Kamaruddin. Di bawah Program SULUNG 2.0, Saudari Cressentia Paul bakal diberikan pengecualian yuran universiti berjumlah RM6,774 sepanjang lapan (8) semester beliau melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan di UNIMAS.

Bersempena dengan sesi ziarah ini juga, beliau menerima sumbangan kotak makanan berbentuk keperluan harian daripada pihak PTPTN manakala pihak Yayasan Kebajikan Siswa (YKS), iaitu sebuah agensi di bawah KPT memberikan sumbangan tunai berjumlah RM500 bagi pembelian barang keperluan memasuki universiti kepada beliau yang akan mendaftar masuk ke UNIMAS pada 30 September 2023.

Pelaksanaan Program SULUNG 2.0 adalah bagi menyediakan peluang dan pembiayaan pendidikan kepada anak pertama daripada keluarga B40 yang belum ada ahli keluarga yang melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi untuk menyambung pengajian mereka di universiti awam (UA).

Program ini juga merupakan inisiatif KPT yang bertujuan untuk menyumbang kepada pembangunan modal insan yang inklusif dan menyokong transformasi sosial bagi membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi keluarga B40 ke satu tahap yang lebih baik agar dapat keluar daripada kepompong kemiskinan.

  • Last updated on .
  • Hits: 2154
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 15 April 2024, 21:14:58.