YB Menteri Seru KPT Perluas Komunikasi Digital, Percepat Tindakan Tangani Maklumat Palsu

19 Oktober 2026 | Kuala Lumpur
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu mengadaptasi pendekatan komunikasi yang pantas, berasaskan visual dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) bagi menangani penyebaran maklumat palsu serta manipulasi persepsi awam terhadap Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata pengamal komunikasi di Kementerian, agensi dan universiti awam perlu melangkaui kaedah konvensional yang bergantung pada kenyataan media rasmi bagi memastikan penjelasan dapat disampaikan dengan berkesan kepada masyarakat.
Beliau berkata perubahan corak penggunaan media digital yang semakin tertumpu pada kandungan ringkas memerlukan IPT menghasilkan bahan komunikasi visual yang profesional, mudah difahami dan mampu menjangkau khalayak dengan lebih meluas.
“Apabila kebenaran itu tidak disusun dengan baik, ia akan dikalahkan oleh kepalsuan yang disusun dengan baik,” katanya ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra Menteri Pendidikan Tinggi bersama pegawai perhubungan awam jabatan, agensi dan universiti awam sempena Program KARISMA Pegawai Perhubungan Awam KPT 2026 anjuran Unit Komunikasi Korporat KPT bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini tadi.
YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry berkata tindakan menangani sesuatu isu perlu disegerakan mengikut tahap keseriusannya bagi mengelakkan maklumat tidak tepat tersebar lebih luas, selain memberi ruang kepada pegawai komunikasi untuk mengeluarkan penjelasan awal melalui saluran media sosial rasmi dengan penggunaan bahasa yang profesional.
Beliau turut mengetengahkan keberkesanan pendekatan komunikasi visual oleh Education Malaysia Global Services (EMGS) dalam menjelaskan isu kemasukan pelajar antarabangsa menerusi siri video di Facebook, Instagram dan TikTok yang meraih lebih sejuta interaksi penonton serta membantu meredakan polemik berkenaan.
Dalam sesi itu, beliau turut bersetuju dengan cadangan mewujudkan sistem pemantauan media berpusat berasaskan AI dan perkongsian sumber antara KPT, universiti awam serta agensi berkaitan bagi meningkatkan keupayaan mengesan sentimen awam dan mengurus isu komunikasi secara lebih menyeluruh.
Mengulas usaha mempromosikan pendidikan tinggi Malaysia di peringkat antarabangsa, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry berkata naratif utama yang perlu diketengahkan ialah Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa yang menawarkan pendidikan berkualiti pada yuran berpatutan, selain menggalakkan kerjasama lebih erat antara universiti awam dengan EMGS bagi memperluas pengiktirafan global.
Beliau berkata pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) juga perlu diberikan penekanan dalam komunikasi antarabangsa sebagai laluan pendidikan berkualiti yang setara, selaras dengan peningkatan kemasukan ke program TVET di politeknik sebanyak 132 peratus yang dinyatakan dalam ucapannya.
Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim; Setiausaha Akhbar Menteri Pendidikan Tinggi, Dr. Norazli Mat Daud; Ketua Komunikasi Korporat KPT, Mohamad Hafizi Rosli; serta pegawai perhubungan awam dan wakil media jabatan, agensi serta universiti awam.
- Last updated on .
- Hits: 65
