YB Menteri Seru Kesarjanaan Sejati, Rai Penyelidik Cemerlang Scopus Negara

YB Menteri Seru Kesarjanaan Sejati, Rai Penyelidik Cemerlang Scopus Negara
English translation not available for this content.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengulangi komitmennya untuk memupuk budaya kesarjanaan sejati bagi mengangkat penyelidikan negara ke persada global.

Hasrat ini dizahirkan oleh Menterinya, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, ketika berucap di Majlis Anugerah Malaysia SCOPUS Research Star Award (MRSA) 2025, yang berlangsung baru-baru ini bagi mengiktiraf pencapaian para penyelidik cemerlang negara.

Penganugerahan tersebut merupakan satu daripada acara kemuncak bersempena Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2025, yang menghimpunkan ilmuwan, industri dan masyarakat.

YB Menteri dalam ucapannya menekankan bahawa penyelidikan berkualiti harus melangkaui dinding akademik untuk menyentuh masyarakat, memaklumkan dasar dan memupuk inovasi.

Beliau turut meraikan pencapaian signifikan hasil kerjasama strategik, di mana jumlah jurnal Malaysia yang diindeks dalam Scopus telah meningkat daripada hanya dua (2) jurnal pada 2022 kepada 20 jurnal pada tahun ini.

Menggariskan hala tuju Kementerian, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry menyeru agar ekosistem penyelidikan masa depan dibina secara inklusif dan beretika, yang menghargai pandangan (insights), kebijaksanaan dan impak kepada masyarakat.

Majlis tersebut meraikan pemenang dalam pelbagai kategori termasuk Anugerah Perintis Cemerlang, Penyelidik Muda, Kelestarian, Penyelidik Wanita, Penyelidikan Inovasi serta Anugerah Jurnal Scopus dan MyCite.

MRSA 2025 dianjurkan oleh KPT dengan kerjasama strategik Elsevier dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; dan Naib Presiden Serantau Elsevier, Jessica Low. 

  • Last updated on .
  • Hits: 564
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Saturday 13 December 2025, 00:02:22.

sirim-logo