YB Menteri Serah Surat Pelantikan Tiga Timbalan Naib Canselor UA
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menyampaikan surat pelantikan kepada tiga (3) orang Timbalan Naib Canselor Universiti Awam (UA) di pejabatnya pada semalam.
Prof. Dr. Mohd Rizal Salleh dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Beliau memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dari Tokushima University, Jepun pada tahun 2000 sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang yang sama di Brunel University, United Kingdom pada tahun 2003.
Turut mempunyai pengalaman luas dalam hal ehwal kepimpinan dan pentadbiran universiti, beliau pernah menyandang jawatan sebagai dekan fakulti selama lebih lima belas (15) tahun di Fakulti Kejuruteraan Pembuatan dan Sekolah Pengajian Siswazah, UTeM bermula tahun 2009 hingga kini.
Di bawah kepimpinan beliau, kedua-dua fakulti tersebut telah berjaya menawarkan pelbagai program pengajian baharu serta program kerjasama dengan universiti tempatan dan antarabangsa yang memberi manfaat bukan sahaja kepada para pelajar UTeM malah kepada kakitangan UTeM melalui program pertukaran dan mobiliti dengan rakan strategik terlibat.
Selain itu, Prof. Dr. Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail turut menerima surat pelantikan sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang baharu.
Beliau yang mempunyai latar belakang akademik dalam bidang Pendidikan dan Pembangunan Komuniti dari Universiti Putra Malaysia mempunyai kepakaran merangkumi pengurusan kemiskinan, pemetaan dan pembangunan komuniti serta pembangunan kapasiti.
Sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, beliau menyandang jawatan sebagai Pengarah Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), UMK selama lebih lapan (8) tahun bermula tahun 2017 hingga 2025.
Memainkan peranan yang penting dalam menerajui InsPeK, beliau telah diangerahkan “Aziz-Ul Haq Rural Development Medal” daripada Centre on Integrated Rural Development for Asia and the Pacific (CIRDAP) atas pencapaian dan sumbangan cemerlang.
Antara pencapaian utama beliau semasa menyandang jawatan tersebut adalah pembangunan luar bandar, pengurangan tahap kemiskinan dan peningkatan keselamatan makanan penduduk luar bandar di Asia dan Rantau Pasifik.
Seterusnya, YB Menteri turut menyerahkan surat watikah pelantikan kepada Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Sains Malaysia (USM) yang baharu.
Memiliki kepakaran dalam bidang Pendidikan Multimedia dan Teknologi Maklumat serta mempunyai pengalaman yang luas dalam urusan hal ehwal pelajar dan alumni, beliau pernah menyandang pelbagai jawatan pentadbiran di universiti.
Antaranya sebagai Pengarah Pusat Pembangunan Alumni; Timbalan Pengarah (Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat); dan Timbalan Pengarah (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa), Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia, USM.
Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar juga merupakan antara tokoh penting dalam agenda pemerkasaan pendigitalan Malaysia apabila pernah dilantik sebagai Presiden Persatuan Teknologi Pendidikan Malaysia (META) yang berperanan untuk membangunkan Pelan Tindakan Pendidikan Digital Negara.
Beliau juga pernah diberikan tanggungjawab mempengerusikan Jawatankuasa Teknikal dan Kumpulan Kerja di bawah Jabatan Standard Malaysia bagi membangunkan dokumen standard kebangsaan dan antarabangsa bagi audio, visual, teknologi maklumat dan komunikasi.
Pelantikan ketiga-tiga Timbalan Naib Canselor ini adalah berkuat kuasa pada 21 Oktober 2025.
Kementerian yakin, pelantikan Timbalan Naib Canselor ini akan meningkatkan pembudayaan ilmu dan memangkin kecemerlangan institusi pendidikan tinggi negara pada masa hadapan serta seterusnya melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat global dan pemikir strategik yang menyumbang kepada kemajuan negara.
Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman.
- Last updated on .
- Hits: 104